Berita  | Bisnes

Kerjasama PLUS-Microsoft tingkatkan penggunaan aplikasi

Kerjasama PLUS-Microsoft tingkatkan penggunaan aplikasi
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (kanan) bersama Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman.
PETALING JAYA: Plus Malaysia Berhad (PLUS) memperkukuhkan transformasi digital bersama syarikat teknologi antarabangsa, Microsoft dengan menggunakan sistem Cloud Azure ke rangkaian tol sedia ada sekaligus memodenkan pengalaman pengguna di lebuhraya.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, melalui jalinan kerjasama ini, PLUS berupaya memberikan data trafik seperti maklumat kesesakan, data CCTV lebuh raya dan data bergambar secara terus kepada pengguna melalui aplikasinya.
Katanya, kerjasama ini juga membolehkan PLUS melakukan penambahbaikan operasi termasuk integrasi analisa video yang dijangka akan mengurangkan keperluan kakitangan dan membantu menangani masalah kewangan syarikat itu.

"Tujuan kerjasama ini agar pengguna lebih mudah membuat ramalan kesesakan, dalam beberapa senario kesesakan, selalunya pengguna tidak tahu apakah yang berlaku dalam lima hingga 10 kilometer di hadapan, kini dengan data dan teknologi yang kita ada, informasi itu akan disediakan di dalam aplikasi.

“Informasi ini membolehkan pelanggan merancang dan bertindak sama ada mahu berehat di perhentian terdekat atau susur keluar seterusnya,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman pada Selasa.

Penambahbaikan ini akan dikemaskini di aplikasi PLUS secara berperingkat dan dijangka lengkap pada tahun depan.

Kerjasama ini juga menjadikan PLUS syarikat pertama di Malaysia yang menggunakan Teknologi Artificial Inteligence (AI), analisis Big Data dan Cloud untuk menaik taraf rangkaian lebuh rayanya.