Keyakinan pelabur terhadap Malaysia tidak akan terjejas memandangkan kebimbangan yang dialami agensi penarafan telah ditangani, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Beliau berkata, ini susulan lawatan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Singapura dan Hong Kong baru-baru ini, dengan Lim turut mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi penarafan kredit.

"Saya berpendapat, yang menjadikannya jelas adalah kenaikan defisit belanjawan dan pergantungan cukai baharu adalah perkara yang bersifat sementara.

"Ia adalah sesuatu yang kita perlukan bagi jangka pendek untuk menampung kekurangan, dan membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan serta pembayaran balik cukai pendapatan," katanya kepada pemberita selepas dialog mengenai Belanjawan 2019 dan Industri 4.0 di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai pendengaran awam Lynas yang dijadualkan pada 11 Nov ini, Ong berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan turut menyertainya dan memberi maklumat diperlukan yang diminta.

"Kita yakin proses pendengaran awam itu akan berlangsung secara terbuka, adil dan telus.

"Apa yang kita mahu lakukan adalah memberi maklumat yang paling tepat dan relevan kepada jawatankuasa kilang Lynas kerana ia merupakan bahagian bagi memastikan proses itu telus," katanya.

Sesi dialog hari ini bertujuan menghubungkan perniagaan tempatan dan berkongsi peluang untuk penambahbaikan di bawah pelan tindakan Dasar Kebangsaan bagi Industri 4.0 (Industry4WRD) dan Belanjawan 2019.

Belanjawan 2019 memperuntukkan RM210 juta untuk pelaksanaan Industry4WRD bagi tempoh 2019 hingga 2021.

"Walaupun peruntukan utama masih di peringkat proses belanjawan namun usaha penting yang dijangka di bawah pelan tindakan itu, termasuk penilaian kesediaan akan dijalankan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia ke atas 500 perusahaan kecil dan sederhana untuk menentukan jurang kesediaan bagi Industri 4.0 dan menyediakan syor.

"Usaha lain ialah menaik taraf liputan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian terpilih kerana kesambungan merupakan syarat utama bagi pembuatan pintar," katanya.

-- BERNAMA