Kerajaan akan memperbaharui kontrak MASWings untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak untuk tujuh tahun lagi bermula 2017.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, ini akan melibatkan jumlah subsidi kerajaan sebanyak RM190 juta demi kebaikan penduduk di kawasan pedalaman.

MASWings merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Menurut beliau, sesetengah kawasan di Sabah dan Sarawak hanya boleh di akses melalui penerbangan kos rendah yang disediakan oleh MASWings.

"Kita tahu sesetengah kawasan (luar bandar di Sabah dan Sarawak) memang tidak dapat dimasuki kenderaan dengan cepat (sehingga) mereka (penduduk luar bandar) terpaksa menggunakan kapal terbang.

"Untuk itu, kerajaan melalui MASwings membantu (menyediakan perkhidmatan penerbangan) kepada rakyat di kawasan terbabit dan memastikan kos penerbangan tidak terlalu tinggi," katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA Sabah di sini, hari ini.

Sehubungan itu kerajaan menerusi MASWings akan terus memastikan penduduk di kawasan tersebut tidak berdepan tambang yang tinggi di masa hadapan.

Tambahnya, kerajaan akan turut mengkaji destinasi MASWings di Sabah dan Sarawak yang tidak lagi memerlukan subsidi kerajaan.

Ini kerana sesetengah destinasi telah dihubungkan dengan penerbangan swasta seperti di Sibu dan Kota Kinabalu.