SME Bank menawarkan penangguhan sementara untuk komitmen pembiayaan kepada pelanggan yang dipercayai terjejas berikutan penularan wabak novel koronavirus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, keputusan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SME Bank bagi membantu mengurangkan beban kewangan.

“Sebagai peneraju Institusi Kewangan Pembangunan dalam sektor PKS, ini adalah sebahagian daripada inisiatif SME Bank bagi membantu mengurangkan beban kewangan.

Ia juga bagi memastikan operasi perniagaan pelanggan kami yang terjejas akibat penularan wabak ini dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Syarikat bank itu sedar akan ramai usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dari pelbagai industri yang bergantung kepada jualan dan bekalan dari China, tambah Aria Putera.

Penutupan bandar di negara itu juga sekali gus menyebabkan penurunan ketara terhadap jumlah pelancong.

“Dengan adanya penangguhan sementara ini, pelanggan kami yang terkesan akan dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik dan seterusnya memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” kata Aria dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Sebagai sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank terus komited dalam menyokong usahawan PKS terutamanya pada waktu yang sukar ini.

Meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, mandat SME Bank untuk memupuk dan membangunkan PKS terus menjadi fokus utama.

SME Bank menegaskan bahawa pelbagai usaha sokongan telah diambil untuk memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan seperti yang terkandung dalam DKN 2030 dapat dicapai.

Usahawan PKS yang merupakan pelanggan bank yang terjejas dengan wabak ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-2603-7700 atau kunjungi cawangan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang ditawarkan.