Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan dana permulaan bernilai RM100 bilion bagi pilihan simpanan persaraan barunya, Simpanan Shariah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan jumlah ini merupakan lebih kurang 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP RM681.71 bilion.

Shahril berkata penglibatan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baharu kerana lebih 45 peratus, atau RM295 bilion, daripada jumlah aset pelaburan KWSP adalah patuh syariah.

"Pada masa hadapan, kami menjangka mengembangkan pelaburan aset syariah kami tidak kurang daripada RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset syariah," katanya.

Selaras dengan prinsip syariah, kadar dividen untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi portfolio patuh syariah dan tiada jaminan kadar dividen.

"Sebuah Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) ditubuhkan bagi menyelia semua aspek operasi, pelaburan dan tadbir urus Simpanan Shariah.

"JKPS juga akan mengiktiraf produk pelaburan Syariah yang ditadbir dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.

Simpanan Shariah KWSP merupakan pilihan simpanan baru untuk ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada simpanan yang diurus dan ditadbir berdasarkan prinsip syariah.

Berdasarkan kepada keputusan Rundingan Awam yang dijalankan oleh KWSP tahun lepas, lebih 70 peratus responden bersetuju perlu diadakan pilihan untuk ahli memilih supaya simpanan persaraan mereka diuruskan berdasarkan prinsip syariah.

Ahli-ahli yang memilih untuk menukar akaun KWSP semasa kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari.