Sayap pelaburan strategik negara Khazanah Nasional (Khazanah) berkata satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar Focus Malaysia telah menjejaskan eksesais korporat membabitkan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Laporan itu juga dianggap telah melemahkan keyakinan terhadap integriti Khazanah sebagai rakan korporat profesional dan menjejaskan reputasinya yang pada akhirnya menjejaskan kemampuannya untuk melakukan urusniaga pada masa hadapan.

"(Laporan) ini telah menjejaskan potensi Malaysia Airlines untuk mencapai pertumbuhan dan keuntungan mapan," jelas Khazanah dalam satu kenyataan hari ini.

"Khazanah sudah meminta Focus Malaysia untuk berhenti menyiarkan apa-apa maklumat yang dipunyainya mengenai eksesais korporat yang pada kebiasaannya dianggap rahsia," tambah kenyataan itu.

Portal Focus Malaysia dua minggu lalu menyiarkan apa yang ia dakwa sebagai cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines oleh Kumpulan AirAsia.

Cadangan yang didakwa bernilai RM8 bilion itu memperincikan tujuh perkara termasuk penubuhan sebuah syarikat gabungan yang akan diapungkan di Bursa Malaysia.

Ia juga mendakwa Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menerima baik cadangan itu tetapi ditolak oleh lembaga pengarah syarikat.