Tutup

Berita  | Bisnes

MAB berpeluang berubah, perlu laksana langkah getir - CEO Qatar Airways

MAB berpeluang berubah, perlu laksana langkah getir - CEO Qatar Airways
MAB boleh mempelajari pengalaman Qatar dalam pengurusan syarikat, perkhidmatan pelanggan dan seterusnya untuk berjaya dalam industri ini. - Gambar hiasan
LANGKAWI: Malaysia Airlines Bhd (MAB) mempunyai peluang luas untuk berubah namun terpaksa melaksanakan beberapa langkah getir bagi memulihkan keadaannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways Group, Akbar Al Baker.

Beliau berkata pandangannya mengenai situasi dialami MAB turut dikongsikan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pertemuan mereka baru-baru ini.
"Ia merupakan kunjungan hormat, untuk melihat sama ada terdapat sebarang langkah yang boleh kami lakukan untuk membantu MAB. (Dr Mahathir) telah menjemput saya kerana beliau mengenali saya sejak sekian lama dan mendengar apa yang telah saya suarakan mengenai usaha yang boleh dilakukan bagi tujuan pemulihan MAB.

"Namun, saya tidak boleh memaklumkan butiran mengenai apa yang saya kongsikan bersama Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di luar sidang media selepas meraikan ketibaan penerbangan sulung Qatar Airways ke Langkawi pada Khamis.
Beliau berkata MAB merupakan syarikat penerbangan yang amat baik namun mengalami beberapa masalah.

Bagaimanapun beliau yakin MAB memiliki peluang luas untuk mengubah situasi itu namun perlu melaksanakan beberapa langkah yang amat getir dalam usaha tersebut.

Akbar berkata MAB boleh mempelajari pengalaman Qatar dalam pengurusan syarikat, perkhidmatan pelanggan dan seterusnya untuk berjaya dalam industri ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan nasional merupakan elemen penting dalam ekonomi negara.

"Cuba bayangkan jika anda tidak memiliki syarikat penerbangan negara, namun anda mempunyai rancangan besar untuk memajukan sektor pelancongan.

"Mengapa perlu meraih simpati daripada syarikat penerbangan lain? Jadi, amat penting untuk MAB dikekalkan dan membolehkannya berkembang, namun pada masa sama, menghalang perkara-perkara yang menjejaskannya," katanya.

-- BERNAMA