Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

MAHB catat untung bersih rendah RM537 juta pada tahun kewangan 2019

MAHB catat untung bersih rendah RM537 juta pada tahun kewangan 2019
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM537.04 juta bagi tahun kewangn berakhir 31 Dis, 2019 daripada RM727.30 juta pada tahun kewangan 2018. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM537.04 juta bagi tahun kewangn berakhir 31 Dis, 2019 daripada RM727.30 juta pada tahun kewangan 2018.

Perolehan, bagaimanapun, naik 7.4 peratus kepada RM5.21 bilion daripada RM4.85 bilion sebelum ini, sebahagian besarnya berikutan prestasi operasi yang menggalakkan di Malaysia dan Turki, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.
Dengan gabungan prestasi operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), rangkaian lapangan terbang kumpulan itu mengendalikan 140.6 juta penumpang pada tahun kewangan 2019, mewakili pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus berbanding tahun kewangan 2018.

Trafik penumpang untuk operasi di Malaysia naik 6.1 peratus kepada 105.2 juta penumpang pada tahun kewangan 2019.
ISG mencatatkan 35.5 juta penumpang pada tahun kewangan 2019, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun kewangan 2018. Perolehan daripada operasi di Turki untuk tempoh sama naik 18.7 peratus kepada RM1.29 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tempoh itu berjumlah RM961.2 juta atau meningkat 10.1 peratus berbanding tahun kewangan 2018.

"Kami menjangka trafik penumpang akan mencatatkan prestasi yang baik dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.

"Selain itu, Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahap tertentu mengurangkan impak daripada COVID-19, memberi keyakinan untuk perjalanan udara kembali dalam beberapa bulan akan datang.

"Sebelum ini, semasa Tahun Melawat Malaysia yang biasa, pertumbuhan trafik antarabangsa adalah menggalakkan dengan pertumbuhan dua angka," menurut syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

Sementara itu, ISG dijangka mengukuhkan trafik antarabangsanya, manakala kemerosotan penumpang domestik yang sederhana dijangka pada 2020.

"Perubahan struktur yang sedang berlaku ini merupakan perkembangan positif berdasarkan cabaran kapasiti di ISG dalam masa terdekat. Bagaimanapun, syarikat penerbangan dijangka terus meningkatkan pertumbuhan faktor muatan mereka pada 2020, dengan ISG masih mampu menampung pertumbuhan tersebut dengan landasan dan kapasiti terminal yang sedia ada," katanya.

Syarikat menekankan bahawa ia menyedari mengenai keadaan pasaran semasa, terus berhati-hati berhubung persekitaran operasi yang mencabar.

"Kumpulan telah menyediakan pelan mitigasi untuk menghadapi cabaran. MAHB akan memastikan kesinambungan operasinya dengan strategi perniagaan yang berdaya tahan.

"Tahun 2020 memaparkan peluang besar dan MAHB komited sepenuhnya untuk meneruskan peranan pentingnya dalam menerajui industri penerbangan dan memudahkan aspirasi ekonomi negara. MAHB akan meneruskan usahanya untuk memberikan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia kepada pihak berkepentingannya dengan menerapkan budaya berteraskan pelanggan dalam operasi lapangan terbang," katanya.

Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 10.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019. Bersama dengan dividen interim sebelum ini sebanyak 5.0 sen sesaham, jumlah dividen bagi tahun itu ialah 15.0 sen sesaham.

-- BERNAMA