Maju Holdings Sdn Bhd telah mengemukakan pindaan cadangan membeli PLUS Highway kepada kerajaan.

Berikut adalah antara pindaan yang Maju Holdings telah buat berkenaan dengan cadangan pembelian mereka.

Sejurus selepas pembelian itu, Maju Holdings mendakwa, mereka akan menurunkan harga tol di antara 25 dan 36 peratus untuk pengguna.

Maju Holdings berkata, mereka akan menanggung kos pengurangan tersebut sepenuhnya dan tidak akan meminta kerajaan untuk berikan apa-apa pertolongan kewangan untuk menampung kos pengurangan tol ini.

Selain itu, Maju Holdings mendakwa, kerajaan juga berhutang kepada PLUS sebanyak RM2.7 bilion dalam bentuk pampasan tol.

Sekiranya Maju Holdings membeli PLUS, syarikat berkenaan akan mengabaikan hutang berkenaan.

Ini bermakna, kerajaan tidak perlu lagi membayar hutang RM2.7 bilion ini kepada PLUS.

Maju mendakwa, dengan pindaan cadangan pembelian PLUS ini, pemegang saham PLUS akan mendapat pulangan tahunan (Internal Rate of Return) sebanyak 16%.

Maju mengulangi kenyataan mereka sebelum ini, bahawa mereka akan melabur kira-kira RM5.3 bilion yang akan merangkumi pemasangan lampu untuk seluruh lebuh raya itu, serta peningkatan lain.

Jumlah pembelian perusahaan (Enterprise Value) pembelian Maju Holdings terhadap PLUS bernilai sekitar RM34.9 bilion. Angka ini termasuk hutang bon PLUS kepada pemiutang mereka.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata, sukar untuk menggambarkan PLUS dikendalikan oleh entiti swasta.

Perkara ini dilaporkan oleh akhbar The Edge pada 7 Oktober lalu.

Shahril berkata, 'terdapat satu isu risiko moral apabila pengendali swasta mengambil alih aset strategik dengan sokongan jaminan kerajaan'.

Beliau berkata demikian pada acara Khazanah Megatrends Forum 2019.

Menurut Shahril, Khazanah masih lagi mampu mendapat keuntungan kewangan dari pemilikan PLUS ini.

Pada masa sama, The Edge juga melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias berkata, jika ada tawaran yang baik untuk membeli PLUS, KWSP sedia menjual saham kami di PLUS'.

Selain Maju Holdings, satu firma pelaburan dari Hong Kong, RRJ Capital dilaporkan juga hendak membeli PLUS. Tawaran yang dilaporkan adalah pembelian secara tunai sebanyak RM3 bilion dan RRJ juga akan mengendalikan kesemua hutang PLUS yang bernilai sekitar RM30 bilion.

Khazanah memiliki 51 peratus saham PLUS, manakala KWSP memiliki saham selebihnya.