Berita  | Bisnes

Malaysia Airlines catat prestasi stabil bagi suku kedua

Malaysia Airlines catat prestasi stabil bagi suku kedua
IZHAM: Malaysia Airlines menyaksikan momentum perkembangan yang baik untuk tiga suku terakhir selepas berdepan kelemahan pada 2017 dengan RASK menunjukkan peningkatan positif. - Astro AWANI / Fail
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) berupaya mencatat "prestasi stabil bagi tahun ke tahun" untuk suku kedua 2018 dengan peningkatan pulangan marginal sebanyak 0.3 peratus.

Perolehan bagi tempat duduk tersedia setiap kilometer (RASK) juga kekal kukuh dengan pertumbuhan 2.0 peratus tahun ke tahun walaupun berdepan peningkatan pesaing serta kelemahan permintaan ketika Ramadan, kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan angka perolehan dan keuntungannya kecuali menyifatkan tempoh separuh pertama 2018 sebagai "amat mencabar" kerana dibebani faktor seperti kenaikan harga minyak atau bahan api (lebih 37 peratus bagi tahun ke tahun), lebihan kapasiti di peringkat industri yang menjejaskan permintaan dan menyebabkan tekanan selain masalah kekurangan juruterbang.

"Walaupun demikian, syarikat penerbangan ini berupaya mengekalkan kedudukannya dengan prestasi yang stabil bagi suku berkenaan," katanya.

Pada awal tahun ini, Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham tunggal Malaysia Airlines, telah menyatakan jangkaannya untuk melihat syarikat penerbangan itu mencatat keuntungan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG) Izham Ismail berkata syarikat penerbangan berkenaan telah melaksanakan transformasi terbesar sejak tiga tahun lepas dengan mengurangkan kos perbandingan unit sebanyak 5.0 peratus dalam tempoh tersebut.

"Syarikat penerbangan itu juga telah menyaksikan momentum perkembangan yang baik untuk tiga suku terakhir selepas berdepan kelemahan pada 2017 dengan RASK menunjukkan peningkatan positif.

"Bagaimanapun, kami turut berdepan tekanan akibat peningkatan harga minyak, ketidaktentuan tukaran asing (forex) dan lebihan kapasiti di pasaran domestik," katanya.
Beliau berkata lebihan kapastiti juga telah menyebabkan kekurangan juruterbang di seluruh dunia , yang memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan pertumbuhan.

Meskipun begitu, katanya, keputusan agak baik yang dilihat dalam suku tersebut adalah hasil daripada inisiatif berhemat yang dilaksanakan termasuk pengurusan kapasiti lebih baik serta memanfaatkan fleksibiliti jenis pesawat untuk menangani kekangan operasi.

"Kami terus komited untuk menggerakkan inisiatif dirancang kami bagi tempoh berbaki tahun ini disamping menyediakan startegi yang proaktif dan defensif bagi mencapai prestasi menguntungkan pada 2019.

"Kami akan terus memacu hasil dengan melaksanakan strategi penetapan harga efektif dan menyediakan produk dengan nilai tokokan lebih baik kepada penumpang kami," katanya.

Pada masa hadapan, Izham berkata kumpulan itu mengekalkan unjuran berhati-hati bagi tahun fiskal 2018 dengan jangkaan tidak menentu berikutan kesan daripada pertukaran asing dan peningkatan harga bahan api.

"Meskipun situasi ekonomi global masih tidak menentu, kami optimistik dengan persekitaran permintaan, di dalam negara dan juga rantau Asia Pasifik.

"Kumpulan akan terus berhemat dalam mengawal kapasiti dan telahpun menyusun semula kekerapan laluan domestik dengan memperuntukkan pesawat kumpulan di bahagian yang kami melihat potensi pulangan terbaik," katanya.

Menurut Izham, syarikat penerbangan itu masih terus menumpukan untuk meningkatkan hasil menerusi strategi penetapan harga yang lebih baik, terutamanya bagi segmen premium kelas perniagaan dan jualan korporat.

Bagi menangani tekanan luaran dan jangkaan kekangan operasi, Malaysia Airlines menjalankan latihan pengurusan kapasiti dengan lebih proaktif di samping mengurangkan kapasiti dan kekerapan laluan yang tidak menguntungkan.

Mengulas kekurangan juruterbang, ia berkata, langkah proaktif diambil untuk menanganinya secepat mungkin termasuk menggabungkan dan menaik taraf penerbangan yang beroperasi menggunakan pesawat lebih besar untuk membantu mengurangkan jurang yang disebabkan oleh kekurangan juruterbang B737.

Syarikat penerbangan itu juga mengadakan program latihan juruterbang yang luas, dilaksanakan pada Ogos 2017 bersama-sama usaha pengambilan juruterbang.

Bulan lepas, Malaysia Airlines menerima pesawat A350-900 yang keenam dan terakhir bagi kegunaan laluan ke London dengan kekerapan dua kali sehari.

Syarikat penerbangan itu sedang memaksimumkan kumpulan asetnya menggunakan jenis pesawat tertentu seperti A350-900 dan A380-800, terutama pada waktu puncak ke pasaran trafik yang tinggi.

Suku berkenaan turut menyaksikan ketibaan tiga pesawat jenis A330-200s, menjadikan keseluruhan kekuatan pesawat semasa kepada lima.

Pesawat berkenaan membolehkan Malaysia Airlines menjadi lebih berdaya saing di pasaran penerbangan Asia Pasifik yang pantas berkembang, membolehkan syarikat penerbangan itu menaik taraf di pasaran dengan permintaan tinggi, meningkatkan pengalaman pelanggan dengan ketara selain menjana pendapatan lebih baik.

A330-200 yang terakhir dijangka tiba bulan depan.

Perjanjian itu akan menyaksikan Malaysia Airlines membawa lebih 70,000 jemaah bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga daripada negara jiran seperti Indonesia.

Bersandarkan kapasiti 149 penerbangan, beroperasi menggunakan pesawat Airbus A380-800 Malaysia Airlines, perjanjian itu mewakili angka terbesar penerbangan berjadual untuk musim umrah setakat ini bagi Malaysia Airlines.

-- BERNAMA