Memahami keperluan khusus umat Islam mengerjakan haji dan umrah, Malaysia Airlines tampil dengan perkhidmatan sewa khas yang dijenamakan sebagai 'Amal'.

Dahulu dikenali sebagai Project Hope, majlis pelancaran Amal disempurnakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berserta ahli Lembaga Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail, Amal diyakini menjadi pengangkutan pilihan untuk haji dan umrah menghubungkan umat Islam di Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Indonesia dan Thailand ke Tanah Suci.

"Perkhidmatan ini bukan sahaja ditawarkan di Malaysia malah terbuka kepada jemaah dari Thailand dan Indonesia. Indonesia khususnya mempunyai populasi Muslim sebanyak 10 kali lebih besar daripada Malaysia namun pasaran yang sebegini masih belum meluas di sana.

"Amal juga berhasrat untuk mewujudkan sistem pengangkutan udara dilengkapi dengan struktur infra yang khusus untuk Haji dan Umrah bukan hanya untuk jemaah dari ketiga- tiga negara tetapi juga di seluruh rantau Asia Tenggara," kata Izham.

Amal ialah perkhidmatan pertama seumpamanya di dunia yang menawarkan servis penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah.

BACA: Projek Amal akan gunakan dana dalaman

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata penubuhan Amal ini diharap dapat meningkatkan lagi kualiti keseluruhan perkhidmatan dalam pasaran haji dan umrah yang sering dikaitkan dengan perkhidmatan bukan premium.

"Kami berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan para jemaah dan kami berhasrat untuk menyediakan kemudahan pengangkutan pilihan dan terbaik di dunia dilengkapi dengan pengalaman dalam pesawat yang unik," kata Hazman Hilmi.

Tambahnya, Amal mengorak langkah ini bagi mengambil peluang menjayakan Visi Saudi 2030 yang mensasarkan peningkatan sebanyak empat kali ganda kepada 30 juta jemaah pada tahun 2030.

Penerbangan pertama Amal by Malaysia Airlines telah dilancarkan pada Oktober 2018 dan kini beroperasi sebanyak tiga kali sehari ke Jeddah dan Madinah menggunakan pesawat A380-800.