Malaysia memberi jaminan kepada Kesatuan Eropah (EU) bahawa minyak sawitnya bukan sahaja selamat dan sihat tetapi juga diusahakan mengikut amalan pertanian yang baik.

Dalam kenyataan pada Ahad, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata industri minyak sawit negara tertakluk kepada 60 peraturan meliputi spektrum undang-undang yang luas seperti keselamatan makanan, alam sekitar dan tenaga kerja.

"Malaysia turut berpegang teguh kepada komitmennya pada Sidang Kemuncak Rio 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah di bawah kawasan liputan hutan.

"Jelas bahawa industri di Malaysia dikawal selia dengan baik," katanya.

Mah mengadakan taklimat mengenai keselamatan makanan dan isu-isu berkaitan kemampanan minyak sawit Malaysia kepada duta dari negara-negara EU di kementerian pada Jumaat lepas.

Taklimat itu dianjurkan sempena sambutan 100 tahun pengkomersialan kelapa sawit di Malaysia.

Delegasi EU itu diketuai oleh Maria Castillo Fernandez dan disertai oleh 15 duta dan wakil dari negara-negara EU di Malaysia.

Pada taklimat tersebut, Mah menekankan kebimbangan Malaysia mengenai kempen anti-minyak sawit yang semakin meningkat di EU, termasuk mengaitkan minyak sawit kepada isu kesihatan dan penebangan hutan.

Beliau berkata industri di Malaysia telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

Mah berharap negara-negara EU akan terus menyokong usaha Malaysia dengan memberi pengiktirafan yang besar kepada pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

"Industri ini juga merupakan sumber pendapatan eksport yang penting apabila pada 2016, jumlah eksport yang dicatatkan bernilai RM64.58 bilion.

"Pada masa ini, industri minyak sawit di Malaysia menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir satu juta orang meliputi sektor huluan dan hiliran," katanya.

Dalam pada itu, katanya, EU merupakan destinasi eksport yang penting bagi produk minyak sawit Malaysia.

"Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke EU dicatatkan sebanyak 3.63 juta tan bernilai RM10.30 bilion pada tahun lepas.

"Antara produk utama yang dieksport ialah minyak sawit, hampas isirung kelapa sawit dan oleokimia," kata Mah. -- Bernama