Malaysia dan 11 negara lain mencapai persetujuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Laporan Reuters Isnin yang dipetik sebagai berkata, perkara itu dipersetujui semua Menteri-Menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat, bermula Rabu lalu.

Menurut laporan itu, wakil kesemua negara itu, termasuk dari Malaysia dijangka akan mengumumkan butiran dan perincian perjanjian pada Isnin di Atlanta. Selain dari Malaysia, negara anggota yang telibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

TPPA yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua negara yang terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.

Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.

TPPA dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat.

Teks perincian penuh sepanjang 30 bab dilaporkan hanya akan diterbitkan dalam masa 30 hari.

Mesyuarat di Atlanta tersebut adalah yang kedua tahun ini dan melibatkan Menteri-Menteri Perdagangan kesemua negara rundingan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Parlimen akan membuat keputusan sama ada akan menandatangani perjanjian ini atau tidak.

"Hasil kajian ini akan didedahkan kepada umum serta dibahaskan di Parlimen.

"Parlimen akan membuat keputusan sama ada akan menandatangani perjanjian ini atau tidak," katanya.

Mustapa turut menegaskan pendirian Malaysia mengenai TPPA adalah berdasarkan Perlembagaan negara, dasar-dasar penting membabitkan Bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana serta kepentingan kerajaan-kerajaan negeri.

"Kerajaan sedar bahawa TPPA mempunyai kos dan faedah. Inilah sebabnya kenapa aspek analisis kos dan faedahnya dilakukan," katanya.

Mustapa turut menggesa rakyat agar bersikap terbuka berhubung TPPA.

Kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) juga akan dikemaskini berdasarkan persetujuan yang telah dicapai.