Poland sedang giat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi premium kepada para usahawannya yang ingin mengembangkan pasaran di luar negara.
Ketua Agensi Pelaburan dan Perdagangan Poland (PITA) di Kuala Lumpur, Przemyslaw Zareba, berkata Malaysia adalah pasaran ideal untuk produk premium Poland di rantau ini, disebabkan beberapa faktor seperti kekukuhan pertumbuhan ekonomi, pendapatan boleh guna penduduk yang tinggi dan penerimaan pengguna terhadap produk baharu.
"Kami mempromosikan Malaysia sebagai pasaran premium dan aktif menggalakkan empat industri di Poland mencari peluang perniagaan baharu di Malaysia," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini.
Empat industri itu ialah industri kosmetik premium dan halal, produk makanan, peralatan perubatan dan farmaseutikal serta perabot.
Katanya, beberapa pemain utama industri di Poland telah menunjukkan minat di Malaysia.
PENSIJILAN HALAL
Bagaimanapun, Zareba berkata pihaknya maklum mengenai keperluan yang dikehendaki oleh produk pengguna, terutama makanan dan kosmetik, untuk mematuhi kriteria halal bagi membolehkan ia dipasarkan di negara majoriti penduduknya Muslim seperti Malaysia.
"Satu daripada halangan ialah pensijilan halal. Oleh itu, kami menyediakan sokongan terhadap pengeluar kami dengan mendidik mereka mengenai sistem halal.
"Kedua, kami membantu menghubungkan mereka dengan agensi yang sepatutnya di Malaysia, contohnya Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Poland sangat terkenal di Eropah kerana kualiti makanan dan kita perlu memanfaatkannya. Jadi, untuk jualan yang lebih banyak di Malaysia sudah tentu ia bergantung kepada pensijilan halal. Sebab itu ia dianggap penting," katanya.
GILAP AGENSI PELABURAN DAN PERDAGANGAN
PITA, sebuah organisasi yang ditubuhkan khusus oleh kerajaan Poland pada Julai 2017 untuk mempromosikan perdagangan dan perniagaan, serta membantu memudahkan usahawan menembusi pasaran baharu di luar negara di samping menarik pelaburan asing ke Poland.
Zareba berkata pertumbuhan pesat ekonomi mendorong kerajaan menggalakkan pengeksport dan pengeluar menceburi peluang perniagaan baharu di luar Eropah, dengan penduduk seramai 650 juta ia berpotensi sebagai pasaran yang luas.
Poland dengan penduduk seramai 38 juta orang, kini merupakan negara ekonomi ke-24 terbesar di dunia dan ketujuh di EU.
Ekonomi negara Eropah tengah antara paling berdaya tahan di benua itu, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus dicatatkan pada 2018.
"Peranan kami adalah sama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan gabungan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Kami mahu menggalakkan dan memperlihatkan kepada usahawan Poland mengenai adanya potensi pasaran lain yang boleh diterokai, dan mempelawa mereka untuk aktif di sini," katanya.
Buat masa ini, terdapat hampir 70 Pejabat Perdagangan Asing (FTO) mewakili PITA di kebanyakan bandar besar di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang mana ia bekerjasama rapat dengan usahawan, syarikat, persatuan perdagangan dan organisasi Poland dan Malaysia untuk meningkatkan hubungan ekonomi bersama.
Agensi di Kuala Lumpur, dibuka pada Jun 2018, turut menguruskan operasi pasaran di Myanmar.
Sebagai sebahagian usaha menyokong usahawan di Malaysia, Zareba berkata pejabatnya di sini turut menyediakan kemudahan tempat sementara bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mencuba pasaran.
"Katakanlah anda seorang usahawan kecil dari Poland dan ingin aktif di Malaysia tetapi tidak mahu melabur semua wang di Malaysia, boleh datang ke agensi kami selama empat atau lima minggu, menggunakan premis kami di Kuala Lumpur," katanya.
MISI PERDAGANGAN
Zareba berkata sebagai sebahagian kempen promosi, tahun ini FTO di Kuala Lumpur melancarkan dua misi perdagangan dari Poland ke Malaysia, pertama pada Julai melibatkan pemain industri kosmetik.
"Kami akan membawa 10 hingga 12 syarikat kosmetik, di mana mereka akan sertai pertemuan B2B (perniagaan ke perniagaan) dengan organisasi perdagangan tempatan dan persatuan perniagaan di sini.
"Kami juga menghubungkan dengan pengedar tempatan dan rangkaian kedai untuk membincangkan kemungkinan memasarkan produk mereka di sini," katanya.
Poland merupakan pengeluar produk kosmetik, kecantikan dan penjagaan kulit keenam terbesar di Eropah dengan nilai pasaran EUR3.85 bilion.
Terdapat kira-kira 100 industri besar dan sederhana selain lebih 300 pengeluar kecil dan mikro di Poland.
Sektor ini dijangka berkembang empat hingga lima peratus pada tahun-tahun akan datang, sementara nilai pasarannya dijangka berkembang sebanyak EUR4.82 bilion pada 2021.
Antara jenama kosmetik yang terkenal termasuk Inglot, Eveline, Bielenda, Dermedics International, Ziaja, Naturativ dan Organique.
Misi pengeluar peralatan perubatan dan industri farmaseutikal melawat Malaysia dijadual pada September, misi perdagangan ketiga pemain industri makanan pula dirancang pada November atau Disember tahun ini.
-- BERNAMA
Bernama
Fri May 17 2019
Zareba berkata sebagai sebahagian kempen promosi, tahun ini FTO di Kuala Lumpur melancarkan dua misi perdagangan dari Poland ke Malaysia, pertama pada Julai melibatkan pemain industri kosmetik. --fotoBERNAMA
PM Anwar ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia
Mesyuarat Khas bertemakan "Global Collaboration, Growth and Energy Development" akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta pemimpin industri.
Proses penamaan calon berlangsung 9 pagi ini
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuka tirai hari ini dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas
Mangsa lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemuzik di DBKL meninggal dunia di tempat kejadian.
Bebaskan pasaran buruh dari perangkap gaji berasaskan kelayakan akademik - Penganalisis
Malaysia harus beralih ke arah penetapan gaji berdasarkan kompetensi pekerja.
Raja Charles III sambung tugas awam minggu depan
Raja Britain, Raja Charles ketiga akan meneruskan tugas awamnya minggu depan setelah cataT perubahan baik dalam rawatan kanser. Baginda akan memulakan dengan lawatan simbolik ke pusat rawatan kanser.
Demonstrasi pro-Palestin di kampus universiti AS
Demonstrasi pro-Palestin tercetus di beberapa kampus utama Amerika Syarikat. Pelajar menuntut gencatan senjata kekal dan menekan Washington untuk menamatkan sumbangan dana tentera kepada Israel.
Dakwaan Israel: PBB masih siasat 8 individu
Pasukan Khas PBB menutup satu kes dan menggantung tiga kes berhubung dakwaan terhadap 12 petugas UNRWA yang terlibat dengan Hamas, susulan kekurangan bukti dari Israel.
Hamas mahu gencatan senjata bersyarat
Hamas komited kuatkuasa gencatan senjata dalam perang dengan Israel, namun dengan syarat yang dituntut.
Penghidap kanser tulang impikan telefon bimbit
Siti Zubaidah, calon SPM yang mengidap kanser tulang, bercita-cita memiliki telefon bimbit untuk merakam kenangan sebelum pergi. Petronas merealisasikan impian ini melalui program 50 Dreams.
Malaysia seru pihak terlibat supaya bertenang dan minta siasatan dijalankan terhadap isu kemanusiaan di Gaza
Malaysia seru semua pihak yang terlibat supaya bertenang dan menghentikan tindakan provokatif yang boleh memburukkan lagi konflik di rantau Asia Barat.
Malaysia destinasi premium kepada syarikat Poland
Kami mempromosikan Malaysia sebagai pasaran premium dan aktif menggalakkan empat industri di Poland mencari peluang perniagaan baharu di Malaysia.