Malaysia tetap berminat dengan prospek rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) walaupun sekiranya Britain memilih untuk keluar dari EU.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Fatima, ini kerana selain United Kingdom (UK), EU mempunyai 27 ekonomi lain yang dapat memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia.

Katanya jika Brexit berlaku, Malaysia akan melaraskan ekonominya dari segi perdagangan dan pelaburan.

“EU mempunyai negara ahli yang lain. Sudah pasti kami inginkan UK menjadi sebahagian daripada EU. Mereka sedang berunding.

“Jika mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan EU, masih terdapat 27 ekonomi dan itu masih signifikan. Oleh itu kami akan lihat jika pelarasan harus dilakukan,” ujar Rebecca.

Walau bagaimanapun, Rebecca menegaskan supaya tidak membuat spekulasi mengenai Brexit sehingga keputusan diumumkan.

“Pada pendapat saya, kita harus tunggu dan lihat keputusan. Seperti yang saya katakan tadi, walaupun terdapat referendum yang UK ingin keluar, proses itu akan mengambil masa yang lama dan ia tidak akan berlaku semalaman.

“Ia akan mengambil satu hingga dua tahun. Oleh itu, spekulasi harus dihentikan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian sebelum memberi taklimat mengenai perjanjian perdagangan bebas dan integrasi ekonomi di Kuala Lumpur.

Warga UK dan Komanwel di UK akan mengundi sama ada negara berkenaan akan kekal atau keluar dari EU pada Khamis.

Keputusan referendum akan diumumkan pada Jumaat.