Malaysia mampu menawarkan kemudahan infrastruktur logistik dagangan bertaraf dunia dalam memenuhi permintaan global membabitkan darat, udara, air dan juga platform digital.

Jelas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Malaysia sebenarnya mampu menjadi hab logistik di rantau Asia dengan wujudnya Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada Mac tahun ini.

Berucap ketika merasmikan Kongres Dunia Pertubuhan Persekutuan Pengangkutan Antarabangsa FIATA 2017, beliau berkata Malaysia kini sudah bersedia sepenuhnya dalam semua platform logistik kepada para pemain industri antarabangsa.

"Ini termasuklah menaik taraf lapangan terbang sedia ada, membangunkan beberapa pelabuhan termasuk terminal ketiga di Pelabuhan Klang, pelabuhan baharu 'Melaka Gateway', membangunkan semula Pelabuhan Sepanggar dan juga Pelabuhan Baharu Mega di Kuantan.

"Malaysia juga ketika ini sedang rancak membina jaringan landasan yang bakal memudahkan hubungan di beberapa negeri termasuk di Utara dan Selatan selain Pantai Timur. Sebaik sahaja ia siap sepenuhnya, saya jamin kita mempunyai rantaian jaringan perhubungan landasan, jalan raya, lautan dan udara yang terbaik untuk ditawarkan," ujar Liow.

Tambahnya penubuhan KLIA Aeropolis juga menyaksikan berlakunya peningkatan dalam penghantaran kargo dan Malaysia mensasarkan peningkatan terhadap sebanyak 2.5 juta sehingga 3 juta tan kargo akan memggunakan perkhidmatan itu menjelang 2050.

Terdahulu beliau hadir ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi merasmikan Kongres FIATA 2017 yang dihadiri oleh lebih 1500 pemain industri logistik seluruh dunia pagi tadi.

Ia merupakan persidangan dan pameran terbesar logistik membabitkan semua pemain industri dari seluruh dunia bermula 4-8 Oktober ini.