Tutup

Berita  | Bisnes

Malaysia tidak mahu harga minyak melambung kepada AS$100 setong

Malaysia tidak mahu harga minyak melambung kepada AS$100 setong
Abdul Rahman bersama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi Khalid Al-Falih di Mesyuarat di Peringkat Menteri OPEC dan bukan-OPEC ketiga yang diadakan di Vienna, Austria.
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berminat untuk melihat harga minyak mencecah atau melebihi ASD100 setong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau percaya harga minyak yang stabil dan seimbang akan membantu kerajaan dalam merancang belanjawan di samping mengekalkan inflasi pada kadar yang berpatutan.
"Malaysia lebih selesa dengan harga minyak yang stabil pada paras yang berpatutan kerana ketidaktentuan harga minyak menjejaskan unjuran pendapatan kerajaan," jelasnya dalam satu kenyataan susulan Mesyuarat Peringkat Menteri OPEC dan bukan-OPEC ke-3 di Vienna Khamis lalu. 

Melalui mesyuarat itu Malaysia, katanya, bersetuju melanjutkan penyertaan dalam dasar pelarasan pengeluaran minyak sehingga 31 Disember 2018 susulan keputusan untuk melanjutkan “Pengisytiharan Kerjasama” bagi tempoh 9 bulan. 
Beliau berkata, pelanjutan pelarasan pengeluaran minyak diperlukan untuk mengurangkan inventori minyak kepada paras yang lebih berpatutan untuk menyediakan kestabilan dan kemampanan dari segi harga.

Abdul Rahman mewakili Malaysia dalam mesyuarat di peringkat menteri manakala pegawai-pegawai kanan daripada Petronas dan Unit Perancang Ekonomi menghadiri mesyuarat teknikal sehari sebelum itu. 

Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2017, negara-negara OPEC dan bukan-OPEC berjaya mengurangkan paras inventori sebanyak 600 juta tong. 

Berdasarkan anggaran, lanjutan pelarasan pengeluaran ini akan membantu mengimbangkan semula pasaran minyak menjelang hujung 2018. 

Kata Abdul Rahman, ini adalah salah satu faktor mengapa harga minyak semakin mengukuh sejak 2016.

Malaysia sebelum ini memberi komitmen untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah dan kondensat secara sukarela pada kadar 20,000 tong sehari.