Berita  | Bisnes

Mana pergi pelan pemulihan Malaysia Airlines, soal Najib

Mana pergi pelan pemulihan Malaysia Airlines, soal Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pelan pemulihan MAB yang dilaksanakan sebelum ini perlu diteliti untuk dilaksanakan semula. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan sama ada untuk menjual atau menutup syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) satu langkah yang tidak tepat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pelan pemulihan MAB yang dilaksanakan sebelum ini perlu diteliti untuk dilaksanakan semula.

“Pelan pemulihan ada sewaktu saya menjadi Pengerusi Khazanah (Nasional Berhad). Pelan pemulihan itu berjaya dilaksanakan. Cuma ia perlukan masa.

“Jadi tiada sebab mengapa MAB perlu dijual atau ditutup. Itu satu langkah yang salah dan pastinya mendapat tentatangan rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Nasib Malaysia Airlines: Kerajaan tutup atau jual?

Jelasnya, lambang kebanggaan penerbangan negara itu tidak harus ditukar ganti mahupun dijual beli dengan individu atau syarikat lain.

“Kita ada pelan pemulihan. Kembalilah kepada pelan tersebut dan ketika saya masih (Perdana Menteri), kami yakin kepada pelan pemulihan itu.

“Kita melaksanakan VSS (Skim Pemisahan Sukarela) yang sangat berperikemanusiaan selain mengurangkan kakitangan MAB. Kami juga menghentikan penerbangan yang tidak memberi keuntungan,” katanya lagi.


Justeru, katanya isu kerugian yang dialami oleh Khazanah perlu diperjelaskan memandangkan sepanjang tempoh pentadbiran Barisan Nasional (BN), syarikat pelaburan strategik negara itu tidak pernah mengalami sebarang kerugian.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan langkah terbaik untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Ia susulan kerugian yang dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu sekali gus menjadi penyumbang kepada susut nilai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Katanya, antara langkah lain yang boleh diambil termasuk menjual atau menyuntik dana kepada syarikat penerbangan negara itu.

Dr Mahathir turut berkata, langkah untuk menutup syarikat itu adalah satu perkara yang serius. Justeru, kerajaan akan terus menilai dan menyiasat sama ada kita harus menutupnya atau kita harus menjualnya atau kita harus membiayainya semula.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.