Malaysia Airlines kini menawarkan lebih banyak kesambungan sehenti yang lebih lancar di antara Kuala Lumpur dengan beberapa bandar utama di Eropah menerusi perluasan kerjasama perkongsian kod dengan Qatar Airways, syarikat penerbangan rakan kongsi dalam perikatan Oneworld.

Semua perkhidmatan perkongsian kod akan dipasarkan sebagai penerbangan Malaysia Airlines, justeru memudahkan urusan tiket kepada satu dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan nasional, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan pada Rabu.

Malaysia Airlines telah menawarkan penerbangan ke Doha, Qatar, melalui perjanjian perkongsian kod sedia ada dengan Qatar Airways, dan berkuat kuasa 27 Jan ini, para penumpangnya boleh menempah tempat duduk ke 12 destinasi tambahan dengan kesambungan sehenti seperti Frankfurt, Munich, Zurich, Vienna, Rom, Madrid, Barcelona, Geneva, Copenhagen, Brussels, Athens dan Oslo.

Menerusi perjanjian perkongsian kod sedia ada, penumpang Malaysia Airlines dapat menempah perjalanan ke 10 destinasi di Amerika Syarikat, termasuk Boston, New York dan Dallas.

"Melalui kerjasama ini, kami akan dapat menyediakan pilihan perjalanan kepada pelancong luar negara serta mempelawa lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan yang ditawarkan Malaysia. Kami mahu berkongsi 'Malaysia Hospitality' dan menyediakan pengalaman berada di Malaysia untuk penumpang kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail.

Penumpang Qatar Airways juga boleh menempah penerbangan Malaysia Airlines ke dua destinasi tambahan di Malaysia, iaitu Sibu dan Alor Setar, serta dua destinasi di Indonesia -- Medan dan Surabaya.

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker, berkata kedua-dua syarikat penerbangan ini telah menyaksikan manfaat penting yang dibawa menerusi kerjasama perkongsian kod, menyediakan layanan yang tiada tandingan dan kesambungan lancar kepada penumpang sejak 2001.

"Perluasan kerjasama perkongsian kod di antara Qatar Airways dengan Malaysia Airlines adalah langkah seterusnya dalam mengukuhkan lagi perkongsian erat kami," katanya.

-- BERNAMA