Malayan Banking Bhd (Maybank) menjalin pakatan dengan Warner Bros untuk mengeluarkan kad debit yang memaparkan hero "Superman" dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kad debit di Malaysia.

Menurut Maybank, dengan kerjasama Visa International, kad jenama bersama Maybankard Visa Superman Debit akan mula berada di pasaran pada suku pertama tahun ini.

"Kad ini dikeluarkan bagi menarik golongan remaja dan pelanggan muda menggunakan kad debit sebagai kaedah pembayaran untuk apa saja tujuan termasuk berbelanja untuk keperluan harian dan membeli barangan yang diidamkan dan pada masa sama mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kad ini akan turut menawarkan manfaat istimewa dan diskaun bagi produk-produk di bawah jenama Warner Bros, katanya.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Perbankan Komuniti Maybank Lim Hong Tat menjangka kad Maybankard Visa Superman Debit sebagai satu lagi peluang untuk mengukuhkan kedudukan utama Maybank dalam segmen kad debit.

"Sebagai perbandingan, nilai pengebilan menerusi kad debit Maybankard berkembang lebih RM1 bilion atau meningkat kira-kira 30 peratus tahun lalu berbanding 2011.