MQ Finique yang merupakan sebuah anak syarikat kepada Medan Quantum Sdn Bhd (MQCars) akan menceburi bidang pembuatan bas elektrik dengan pelaburan sebanyak RM20 juta.

Pelaburan itu akan digunakan untuk menghasilkan prototaip, membeli robot (robotic arms), komputer dan mesin berteknologi tinggi serta kelengkapan bagi tujuan pembangunan serta penyelidikan selain membangunkan sumber manusia.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MQCars, Hamzi Khairiri, bas elektrik yang disasarkan untuk dieksport itu akan direka dan dibangunkan oleh MQ Finique menggunakan teknologi termaju meliputi penghasilan bateri keupayaan tinggi dan elektrik motor, casis badan serta alatan sokongan berkualiti tinggi.

“Kami menyasarkan penggunaan 100 peratus kandungan tempatan dalam penghasilan akhir bas ini selain pematuhan terhadap standard Eropah,” kata Hamzi dalam satu kenyataan di sini.

MQ Finique diterajui oleh anak-anak muda tempatan berkepakaran dan juga berkemahiran dalam bidang kejuruteraan automotif yang turut membawa bersama-sama mereka pengalaman luas ketika bekerja di Eropah, Jepun selain dalam negara.

Kata Hamzi lagi, usaha untuk menghasilkan bas elektrik telah dirintis sejak tahun 2016 dengan melakukan penyelidikan dan mempelajari sistem pengangkutan awam di Malaysia serta negara lain terutamanya Eropah dan Jepun.

Setakat ini, syarikat itu telah bekerjasama dan berbincang dengan pengusaha bas tempatan dan luar negara seperti Turki, United Kingdom dan Poland tentang potensi pemindahan teknologi dan kepakaran asing kepada MQ Finique.