Berita  |  Bisnes

Melaka terima penerbangan terus dari Haikou, China tahun depan

Melaka terima penerbangan terus dari Haikou, China tahun depan
Melaka bakal menerima penerbangan terus secara carter dari bandar Haikou di wilayah Hainan, China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) - Gambar Fail
MELAKA: Melaka bakal menerima penerbangan terus secara carter dari bandar Haikou di wilayah Hainan, China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, dijangka pada suku pertama tahun depan.

Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka Datuk Lim Ban Hong berkata usaha berkenaan sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan di Hainan dan menunjukkan reaksi positif.
"Ini merupakan perancangan kerajaan negeri Melaka dalam merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri sekiranya penerbangan secara terus berkenaan dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan lagi.

"Ia juga sejajar dengan matlamat yang ditetapkan kerajaan persekutuan untuk menarik lapan juta pelancong China dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah hotel dan pangsapuri servis Hyatt Place di Pulau Melaka di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya penerbangan secara terus itu akan turut menyediakan pakej penginapan dan lawatan ke destinasi menarik di negeri ini dengan kerjasama syarikat pelancongan di Melaka dan Hainan.