Jerman melihat Malaysia mempunyai potensi untuk membawa Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menembusi pasaran negara berkenaan.

Untuk itu, Dewan Perniagaan Dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) menyeru agar syarikat di negara ini ambil peluang perniagaan menerusi projek Lapangan Terbang Brandenburg, Berlin yang dijangka siap pada Oktober 2020.

Menurut Ketua Pengarahnya, Thomas Brandt, Malaysia masih lagi berada di tahap rendah dalam menunjukkan minat pelaburan dan menubuhkan syarikat di negara yang paling maju di benua Eropah tersebut.

“Syarikat Malaysia, terutamanya yang terlibat dalam sektor minyak dan gas, perladangan, makanan dan minuman dan sektor kewangan harus mengambil peluang untuk meneroka peluang perniagaan di negara ini.

“Banyak syarikat Jerman berada di Malaysia, tetapi sebaliknya berlaku untuk syarikat Malaysia. Mesej yang ingin saya sampaikan ialah syarikat Malaysia perlu lebih aktif untuk meneroka pasaran di Eropah termasuk Jerman yang mempunyai potensi besar untuk diteroka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab taklimat bersama media ‘Smart Business Opportunities-Taking Advantage of the Berlin Brandenburg Airport Project’ di Hotel EQ, pada Khamis.

Taklimat itu diadakan bagi memberi maklumat kepada syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran Jerman dan Eropah, serta mereka yang mencari lokasi alternatif Eropah selepas Brexit.

BACA: Ekonomi suku keempat Malaysia tumbuh paling lemah sejak akhir 2009

Pada masa sama, beliau berkata bahawa industri makanan halal juga antara pasaran yang boleh diketengahkan di negara itu kerana enam peratus daripada 83 juta penduduknya merupakan masyarakat Islam.

Lapangan Terbang Brandenburg yang kini dalam proses pembinaan dijangka siap pada Oktober 2020 dan menerima 68 penerbangan daripada 164 destinasi di 55 buah negara.

Untuk rekod, Brandenburg mempunyai populasi antarabangsa kira-kira enam juta orang dari 190 negara dan telah berkembang menjadi hab perniagaan dan teknologi yang mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Brandt juga berkongsikan antara syarikat yang melabur di Brandenburg, salah satu negeri di ibu negara Jerman itu adalah syarikat Tesla.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan syarikat usahawan di situ adalah syarikat bersifat sederhana dan tidaklah sebesar syarikat itu sendiri.

“Kita ada syarikat yang sederhana di Brandenburg, dan bagi mengubah persepsi orang ramai supaya berfikiran luar biasa. Mereka (rakyat Brandenburg) ini tidak sombong, mereka tidak bercita-cita besar.

“Kita pastinya akan bercakap tentang pelaburan besar seperti syarikat Tesla, akan tetapi strukturnya masih syarikat bersifat sederhana,” tambah Brandt.