Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa komited dalam memperbanyakkan aktiviti berbentuk e-dagang terutama dalam memastikan wujudnya persaingan sihat dengan pemain industri dari luar.

Timbalan Menterinya, Ong Kian Min berkata, peranan besar akan terus dimainkan dengan memberi sokongan kepada perniagaan startup untuk dimasukkan dalam ekosistem besar e-dagang.

"Satu yang masih perlu dipromosikan ialah membantu usahawan menyenaraikan perniagaan mereka di platform e-dagang dan jual barangan mereka ke luar negara.

"Banyak usahawan e-dagang tidak sedar yang MATRADE mempunyai program iaitu e-Trade di mana kami berikan subsidi RM5,000 untuk usahawan yang mahu mengeksport barangan dan servis mereka dan membolehkan ia disenarai di platform e-dagang, sama ada Amazon, Alibaba atau Facebook, dan kami juga menyediakan latihan untuk usahawan, " katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Rice Bowl Startup Awards di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beliau juga turut menggesa pemain industri startup agar bekerjasama untuk menawarkan lebih kepelbagaian untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke negara-negara Asia Tenggara.

Sidang kemuncak itu adalah bersempena The ASEAN Rice Bowl Startup Awards yang akan berlangsung malam Khamis.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan, antaranya e-dagang dan Startup Rantaian Pembekal Terbaik, Startup Fintech Terbaik dan Pelabur Tahunan Terbaik.