Berikutan harga komoditi terus menyusut, industri minyak dan gas (O&G) akan mengurangkan perbelanjaan modal dan melaksanakan belanjawan yang lebih kecil pada 2016, kata Moody's Investors Service.

Pengarah Urusannya Steven Wood berkata bekalan berlebihan akan terus mengheret turun harga komoditi tahun ini dalam pasaran minyak global dan gas asli US.

"Selain itu, potensi penarikan balik sekatan ke atas Iran mungkin menambah lagi bekalan dalam pasaran pada 2016, mengimbangi sebarang penurunan dalam pengeluaran US," katanya dalam nota kajiannya hari ini.

Harga komoditi yang rendah juga menjurus kepada penyusutan aliran tunai dan kecairan, menjejaskan keanjalan kewangan syarikat O&G, yang terdedah kepada spekulasi, yang kini terhad.

Malah, syarikat bergred pelaburan besar dan pelbagai juga bergelut dengan keanjalan kewangan yang semakin mengecil serta peningkatan leveraj kewangan.

Agensi penarafan kredit itu menjangkakan perbelanjaan modal huluran akan merosot sekurang-kurangnya 20 peratus hingga 25 peratus, menjadikan industri penggerudian dan perkhidmatan medan minyak paling tertekan pada 2016.

"Syarikat minyak negara dan bersepadu akan mengurangkan perbelanajan modal dan sekali gus menurunkan belanjawan modal pada 2016. Namun, syarikat perkhidmatan medan minyak dan penggerudian khususnya akan memberi penekanan ke atas pengurangan kos selari dengan pengurangan yang pelahan," kata Moody's.

Menurut laporan bertajuk "Global: Persistent Weak Prices in 2016 Rein in Capital Spending, Heighten Financing Risk", Moody's berkata sektor O&G secara keseluruhannya dijangka menyaksikan tekanan dan keingkaran yang semakin tinggi tahun ini.