Kementerian Kewangan memaklumkan moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan sejak berkuat kuasa pada 1 April hingga 19 Jun dianggarkan berjumlah RM43.7 bilion.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.3 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat adalah bernilai RM28.4 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium dari institusi kewangan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan peminjam bahawa tempoh moratorium ini akan berakhir pada 30 September 2020.

"Bagi mereka yang mungkin memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula selepas 30 September, peminjam dinasihatkan untuk berbincang dengan institusi kewangan masing-masing.

"Demi kelangsungan aliran tunai anda, kalau boleh janganlah tunggu sehingga saat-saat akhir untuk berbincang dengan institusi kewangan anda," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) & Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam siaran langsung di laman Facebooknya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul turut berkongsi data terkini mengenai Projek Kecil, di mana RM4 bilion diperuntukkan di bawah Pakej PRIHATIN.

Setakat 19 Jun, ujarnya sebanyak RM3.76 bilion telah pun diagihkan kepada pelbagai kementerian dan agensi yang berkaitan, khas untuk projek-projek yang akan dilaksanakan oleh kontraktor G1-G2.