Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengecam keputusan Perancis untuk mengenakan cukai import ke atas minyak sawit dari negara ekonomi membangun.

Menurut kenyataan media MPOC, analisis mendapati bahawa pelaksanaan cukai tersebut tidak mempunyai rational ekonomi dan dikelaskan sebagai diskriminasi.

Cukai ini dilaksanakan di bawah rang undang-undang biodiversiti. Semasa Perhimpunan Kebangsaan Perancis, ahli Parlimen parti Sosialis mencadangkan cukai baharu iaitu 90 euro bagi setiap tan minyak sawit yang telah diluluskan setelah mendapat undi tertinggi.

Ini berikutan cadangan senat Perancis pada Januari iaitu mengenakan cukai 300 euro bagi setiap tan minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Dr Yusof Basiron berkata, dakwaan bahawa cukai baharu itu dilaksanakan kerana minyak sawit dikenakan cukai yang jauh lebih kurang di Perancis daripada yang sepatutnya, tidak benar.

"Assemblée Nationale melaksanakan cukai baharu berasaskan dakwaan tidak mampan yang mendiskriminasi pengeluar minyak sawit. Tindakan ini jelas memudaratkan matlamat pembangunan negara membangun. Ia juga melanggar peraturan WTO dan EU," ujarnya.

Tambah Yusof, Malaysia merupakan rakan baik Perancis dan Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault, berjanji kepada masyarakat Malaysia bahawa dia tidak akan mengenakan cukai ke atas minyak sawit.

"Ayrault berjanji dengan 300,000 peladang kecil di Malaysia bahawa Perancis tidak akan mengenakan cukai baharu.

"Pelaksanaan cukai ini akan menjejaskan sektor pekerjaan dan usaha mengurangkan kemiskinan serta pembangunan ekonomi di Perancis dan Malaysia," Dr. Yusof berkata.

Sumbangan signifikan

Minyak sawit menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Perancis. Sebanyak 4,600 pekerjaan di Perancis bergantung pada import minyak sawit.

Sementara itu, 323 juta euro daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Perancis adalah daripada import minyak sawit. Manakala, 167 juta euro adalah melalui perolehan cukai.

Terdahulu, senat Perancis mendakwa industri minyak sawit Malaysia dan Indonesia menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan ekosistem, serta pengeluaran minyak sawit yang tidak sihat untuk penggunaan.

Pada 1 Mac, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tuduhan tersebut tidak berasas.

Beliau berkata ini kerana perladangan sawit di Malaysia dikawal selia oleh kira-kira 50 undang-undang dan peraturan.