Seorang pelajar kolej diraikan sebagai penumpang Transit Aliran Massa (MRT) ke sejuta hari ini, selepas 27 hari perkhidmatan laluan pertama, Sungai Buloh-Kajang (SBK), memulakan operasinya.

Prasarana Malaysia Berhad dan MRT Corp dalam kenyataan bersama berkata pelajar tersebut, Ng Zhi Zhi dihadiahkan sebuah Ipad dan barangan lain termasuk kad Touch 'n Go edisi khas.

Beliau disapa sebaik sahaja memasuki pintu masuk tambang di stesen MRT Sungai Buloh oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman dan Pengarah Pengurusan Tanah, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Laluan SBK dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Dis 2016, dengan promosi sebulan perjalanan MRT dan bas pengantara secara percuma.

Pengguna bagi kedua-dua perkhidmatan itu akan mula membayar tambang pada 17 Jan.

Zohari dipetik sebagai berkata Rapid Rail akan terus meningkatkan standard perkhidmatan MRT sejajar dengan aspirasi syarikat induknya, Prasarana Malaysia Berhad bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia.

"Ini merupakan hari yang bersejarah buat MRT. Memperoleh sejuta penumpang dalam masa kurang daripada sebulan mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang awam," katanya.

Sementara itu, Haris yakin bahawa fasa kedua MRT, antara Semantan dan Kajang akan dapat membuka laluannya seperti yang dijangka iaitu pada bulan Julai.

"Kerja pembinaan akhir bagi fasa dua, yang melibatkan seksyen bawah tanah dan selatan sedang giat dijalankan. Pada masa ini, kemajuan (projek) adalah 95 peratus," katanya dalam kenyataan itu. -- Bernama