Jabatan Mufti Negeri Selangor kini memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April lalu, menurut satu kenyataan yang dimuat naik jabatan itu di laman webnya semalam.

Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata hukum pelaburan itu adalah harus kerana peratusan pelaburan dalam syarikat patuh syaraknya telah melepasi 66% mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti.

"Pengharusan ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang bermaksud 'Hukum Berubah Menurut Perubahan 'Illah (sebab)'," katanya dalam satu surat kepada Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar bertarikh 11 Mei.

Mohd Tamyes turut berkata, PNB hendaklah meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhnya.

Surat Mufti Selangor yang dimuat naik di laman web Jabatan Mufti.

Surat Mufti Selangor yang dimuat naik di laman web Jabatan Mufti.
Beliau juga menegaskan, keputusan hukum pelaburan itu akan dikaji semula selepas tiga tahun dan sekurang-kurangnya peratusan pelaburan patuh syarak adalah melebihi 75%.

Mesyuarat tersebut turut memutuskan, pihak PNB hendaklah mengeluarkan zakat kepada pelaburan yang patuh syarak.

"Bagi tujuan pemantauan, PNB perlu mengemukakan laporan perkembangan peratusan patuh syarak kepada jabatan ini pada setiap tahun sepanjang tempoh tiga tahun tersebut," kata Mohd Tamyes.

Mengulas perkembangan itu, Abdul Wahid dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan terima kasih kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri Selangor berhubung keputusan yang dibuat.

Katanya, ia selaras dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Malis Kebangsaan tahun 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB beserta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.

Selain Selangor, negeri lain yang turut mengharuskan pelaburan ASNB ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan serta Sabah dan Sarawak.

Abdul Wahid turut menyambut baik syarat yang dikenakan oleh jabatan itu berkaitan kepatuhan syarak pelaburan PNB dalam ASNB.

"InsyaAllah PNB akan menyahut ketetapan berkenaan dan terus berusaha meningkatkan tahap patuh Syariah pelaburannya dari semasa ke semasa.

"Dengan keputusan ini, saya percaya para pelabur di Selangor kini lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB dan diharap dapat menggalakkan mereka untuk meningkatkan pelaburan masing-masing," katanya.