Kesatuan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berperanan penting dalam mengurus persepsi negatif terhadap perdagangan dan pelaburan menerusi konsep ‘Mengoptimum Potensi Manusia menuju Masa Hadapan Kemakmuran Bersama'.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 dalam Simposium Bidang Keutamaan APEC 2020, Hairul Yahri Yaacob berkata peranan tersebut dapat dilaksanakan menerusi kewujudan keseimbangan dalam perdagangan dan pelaburan selain penekanan terhadap keterangkuman kemakmuran yang adil di rantau ini.

“APEC 2020 memfokuskan kepada pentakrifan semula peranan perdagangan dan pelaburan - daripada hanya semata-mata untuk mencipta kekayaan dalam mewujudkan ekonomi dan sosial yang inklusif.

“Ingin saya tekankan bahawa konsep Kemakmuran Bersama bukan sesuatu yang baharu kepada ekonomi APEC. Setiap anggota ekonomi telah melaksanakan pelbagai polisi untuk menambah baik kehidupan rakyatnya, selain para usahawan telah mengambil peranan yang lebih besar dalam menyumbang kepada kebaikan masyarakat.

“Kita hanya perlu menyatukan usaha ini tatkala Malaysia bertindak selaku tuan rumah,” katanya.

BACA: #MyAPEC2020: Kelestarian inovasi 4IR teras ekonomi mampan

Tambah Hairil, perubahan globalisasi terutama pada penghujung abad ke-20 selain hala tuju Matlamat Bogor (Bogor's Plans) iaitu mewujudkan perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka telah mengurangkan halangan dalam usaha mencipta kejayaan.


“Selepas 30 tahun penubuhannya (APEC), ekonomi serantau telah membangun daripada AS$23.5 trilion kepada AS$66.2 trilion pada 2018 iaitu dengan purata sekitar 3.7 peratus setiap tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Simposium Bidang Keutamaan APEC 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 yang membuka tirai pada Isnin.

Simposium kali ini menghimpunkan delegasi tempatan dan antarabangsa dari 21 anggota ekonomi termasuk Chile, Amerika Syarikat, China, Indonesia dan Vietnam.