Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, diiktiraf sebagai Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia-Pasifik 2019.

Pengiktirafan itu dibuat majalah kewangan bulanan yang berpangkalan di United Kingdom, The Banker.

Menurut majalah itu, pemilihan Shamsiah susulan pencapaian drastik beliau dalam mentadbir rangka kewangan negara meskipun baru menjawat jawatan itu pada Julai tahun lepas.

Ia termasuk usaha Shamsiah melakukan reformasi untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membasmi kemiskinan.

“Shamsiah memasuki pejabat Bank Negara selepas menjadi individu penting dalam siasatan 1MDB yang mengejutkan Malaysia pada 2017.

“Latar belakang ini menjadikan beliau gabenor bank pusat yang telus dan pemilihan beliau tepat untuk pengwujudan kawal selia dan akauntabiliti yang kukuh dalam sistem perbankan,” menurut majalah itu.

The Banker turut memuji langkah Shamsiah yang menurunkan had Laporan Transaksi Tunai (CTR) harian kepada RM25,000 berbanding RM50,000 sebelum ini, berkuat kuasa 1 Januari 2019, dalam usaha mengekang pembayaran tunai pasaran gelap.

“Pertumbuhan dalam negara menarik minat pengiktirafan antarabangsa, dengan Bank Dunia melaporkan Malaysia menunjukkan tanda menjadi negara berpendapatan tinggi,” tulis The Banker.