Datuk Mohd Omar Mustapha telah meletak jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau mengesahkannya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Mohd Omar berkata beliau telah memberi notis peletakan jawatan berkuat kuasa 30 Jun 2018.

"Saya kini sedang menunggu kata putus Lembaga Pengarah Petronas.

"Saya dilantik sebagai seorang Pengarah Bebas Bukan-Eksekutif Petronas pada 15 Sept 2009. Menurut Kod Tadbir Urus Petronas, seseorang ahli Pengarah Bebas Bukan-Eksekutif hanya boleh memegang jawatan ini selama maksima sembilan tahun dari tarikh perlantikan. Tiada lanjutan boleh diberikan selepas sembilan tahun ini," jelasnya.

"Pihak Lembaga Pengarah Petronas mengehadkan tempoh perkhidmatan kerana inginkan tadbir urus yang bebas. Ini adalah cara Petronas menjamin tadbir urus yang terbaik, sejajar dengan aspirasi menjadi syarikat contoh Malaysia yang satu-satunya berada di dalam senarai Forbes 500 syarikat terbesar dunia," ujar beliau lagi.

Mohd Omar mengulas desas-desus tentang peletakan jawatan beliau dalam jangka masa terdekat.