Pakatan Harapan hari ini membentangkan 'Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan' yang menggariskan 11 cadangan dasar yang menjurus kepada soal tadbir urus kewangan negara termasuk langkah-langkah penjimatan.

Antara perkara yang disenaraikan pembangkang ialah untuk kembali kepada pra-GST.

"GST masih menjadi talian hayat fiskal kerajaan. Kami mengunjurkan koleksi GST sebanyak RM42 bilion untuk mengapungkan hasil kerajaan untuk RM223 bilion pada tahun 2017."

"Sebaliknya, Pakatan Harapan kembali kepada pra-GST dari segi angka-angka cukai penggunaan, menghasilkan pendapatan yang lebih kecil iaitu RM204 bilion," menurut ringkasan eksekutif laporan belanjawan berkenaan.

Cadangan lain turut mengurangkan belanjawan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion iaitu dari RM20.3 bilion pada 2016 kepada RM10.31 bilion.

Selain itu, Pakatan Harapan dalam belanjawan alternatifnya juga mencadangkan kenaikan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja-pekerja Malaysia.

Ia dilaksanakan melalui sistem pembayaran bersama selama tiga tahun, di mana kerajaan dan majikan berkongsi kos bersama; kos tahunan kepada kerajaan adalah RM2.5 bilion.

Pakatan Harapan turut mengujurkan penjimatan keseluruhan daripada rasuah dan pembaziran dianggarkan sebanyak 20 peratus daripada semua perbelanjaan mengurus kecuali emolumen.

"Berdasarkan kajian empirikal kami atas Laporan Ketua Audit Negara, kami yakin bahawa faktor pembaziran dan rasuah adalah antara 20 peratus dan 25 peratus.

"Kesungguhan kami memerangi pembaziran akibat rasuah, ditambah pula dengan pelaksanaan penuh sistem anti-rasuah serta-merta akan menyebabkan 20 peratus penjimatan dalam satu tahun fiskal," menurut laporan belanjawan berkenaan.

Sementara itu, satu Suruhanjaya Peluang Sama Rata turut dicadangkan dalam belanjawan alternatif itu bagi menghindari diskriminasi terhadap mana-mana permohonan kerja dan pekerja berdasarkan bangsa, agama atau jantina bagi kedua sektor awam mahupun swasta.