Tutup

Berita  | Bisnes

Pasaran automotif Malaysia berkembang kukuh pada 2019

Pasaran automotif Malaysia berkembang kukuh pada 2019
Vivek Vaidya bercakap kepada media selepas satu sesi penerangan mengenai prospek automotif 2019 di Kuala Lumpur, 16 Jan 2019. - Foto Astro AWANI/MALIK RIDHWAN
KUALA LUMPUR: Pasaran automotif Malaysia dijangka terus berkembang pada tahun 2019, menurut firma penyelidikan pasaran Frost & Sullivan.

Naib Presiden Bahagian Automotif dan Pengangkutan Asia Pasifik Frost & Sullivan, Vivek Vaidya, berkata ini dipacu pertumbuhan dalam penggunaan domestik, pertumbuhan pelaburan swasta serta pelancaran beberapa model baharu.

“Kami jangka jumlah jualan kenderaan (TIV) bagi tahun 2019 akan mencecah 609,700 unit, dengan peningkatan 1.4 peratus. Ekonomi Malaysia pula dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif, memacu keyakinan pengguna sepanjang tahun.
“Pelancaran model-model baharu seperti Perodua Aruz dan Toyota Yaris tahun ini dan Proton X70 pada suku keempat (Q4) 2018 akan terus mendapat momentum dan menyumbang kepada pertumbuhan 2019,” katanya dalam sesi penerangan kepada media mengenai prospek automotif 2019 pada Rabu.

Beliau turut berkongsi faktor lain yang berkemungkinan beri kekangan kepada pertumbuhan 2019.

"Pengurangan perbelanjaan infrastruktur awam dan sektor luaran yang lemah adalah beberapa kekangan pada tahun 2019 yang perlu diatasi oleh sentimen pengguna positif untuk mengekalkan kadar pertumbuhan," kata Vivek.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi 2018, permintaan kenderaan meningkat 4.2 peratus, dipacu peningkatan keyakinan pengguna serta tempoh kelepasan cukai (tax holiday) tiga bulan.

“Pada kebiasaannya selepas tempoh kelepasan cukai, kadar permintaan akan menyusut pada suku berikutnya, tetapi pada 2018, sentiman pengguna yang kukuh memastikan jumlah kenderaan pada Q4 memadai jumlah tahun sebelumnya untuk mengakhiri 2018 dengan catatan positif.

“Gaji yang lebih tinggi dan pelepasan cukai memacu peningkatan sentimen pengguna yang mendorong jualan walaupun menghadapi beberapa halangan seperti tekanan inflasi dan syarat kelulusan pinjaman ketat,” katanya.