Polisi kerajaan untuk meneliti semula semua projek mega, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tidak akan menakutkan pelabur China untuk terus melabur di Malaysia.

Pengerusi Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC), Tan Yiew Sing, berkata keyakinan pelabur akan kekal dengan Malaysia ekoran kualiti pentadbiran baharu.

"Bila saya bercakap dengan rakan niaga saya di China, mereka kata mereka masih memantau (keadaan di Malaysia).

"Tetapi saya yakin mereka akan kembali, apabila mereka lihat kerajaan kini lebih efisien, polisi kita lebih telus dan kerajaan tidak bertoleransi terhadap rasuah dan penyelewengan," katanya.

Tan bagaimanapun menyokong penuh keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneliti semula semua projek mega yang ditandatangani kerajaan lalu.

"Pelaburan dari China sangat penting, sama seperti pelaburan daripada negara lain.

"Tetapi sudah tentu kita perlukan bezakan semua pelaburan ini. Ada yang bermanfaat kepada Malaysia, tetapi jika ada yang tidak membawa manfaat kepada negara, memang kita perlu teliti semula," katanya.

BACA: ECRL bukan pelaburan, ia pinjaman bank dari China - Prof Jomo

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan akan meneliti semua projek mega yang ditandatangani kerajaan lalu, dan mungkin akan merunding semula atau menarik diri dari projek yang tidak menguntungkan negara.

Tan berkata, kesemua pelaburan dan projek perlu memastikan ia mengguna pakai tenaga kerja dan teknologi tempatan, di samping menggalakkan perpindahan teknologi asing ke Malaysia dan tidak menjejaskan alam sekitar.

Beliau menambah, MCCC juga kini diminta menulis laporan kepada kerajaan untuk mencadangkan sama ada projek ECRL perlu dihentikan.

BACA: Wujudkan pusat kajian Malaysia-China - Awang Sariyan

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pendirian MCCC terhadap projek tersebut dan apa yang akan disyorkan kepada kerajaan.

Tan bercakap kepada media selepas selesai bermesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan.

MCCC merupakan salah satu organisasi yang dipanggil majlis itu hari ini, di samping Dewan Perdagangan Amerika Syarikat, Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Telekom Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.