Kerajaan bakal mengumumkan pelan pemulihan ekonomi terbaharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitiri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelan berkenaan merupakan inisiatif penting bagi merancakkan semula ekonomi negara yang mungkin memakan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Untuk memulakan semula ekonomi, ia akan memakan masa dua hingga tiga minggu. Jadi, jangka masa yang kita ada sekarang ialah bermula pada 5 Mei ini.

“Saya berpendapat dan berharap selepas sambutan Aidilfitri kita dapat mengumumkan pelan pemulihan.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah pelan pemulihan walaupun diumumkan pada penghujung Mei ia perlu menjadi pelan yang dinamik. Kita perlu jelas bila ada keperluan kita perlu bergerak dan memulakannya.

“Kita perlu menjadi kerajaan yang tangkas, iaitu apabila ia bergerak pantas, tindakan yang perlu diambil perlu juga pantas. Jadi kita tidak perlu menunggu untuk sesuatu pelan,” katanya menerusi temu bual dalam rancangan Agenda AWANI malam tadi.


Menurut beliau, pelan pemulihan ekonomi yang menumpukan kepada ‘menghidupkan kembali’ ekonomi itu dijangka mampu jadi pemangkin sehingga penghujung tahun ini.

Mengulas berkenaan bantuan kepada golongan B40 dan M40, beliau berkata fasa kedua Bantuan Prihatian Nasional (BPN) akan mula diterima mereka yang layak pada Isnin ini.

Malah, para usahawan mikro industri kecil dan sederhana (IKS) masih boleh mengemukakan Geran Prihatin Khas yang turut bertujuan membantu golongan tersebut meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.