Seramai sebelas pemenang Anugerah Rice Bowl Startup 2016 Malaysia akan mewakili negara di anugerah utama ASEAN Rice Bowl Startup pada 30 Sept, 2016, di Filipina.

Anugerah itu memberi pengiktirafan kepada syarikat permulaan baharu di rantau ini yang memanfaatkan teknologi digital dan teknologi maklumat dan menghargai pemain ekosistem yang sedang meningkat naik seperti pelabur, pemaju serta media yang merangsang dan menggerakkan keusahawanan.

Pemenang peringkat ASEAN kemudiannya akan bersaing di peringkat global di acara kemuncak Global Startup Awards 2016 yang akan diadakan pada November 2016, kata New Entrepreneurs Foundation (myNEF) dalam satu kenyataan Sabtu.

Pemenang Anugerah Rice Bowl Startup 2016 ialah Grab (Syarikat Permulaan Terbaik), Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif MyTeksi dan Grab, Anthony Tan (Pengasas Terbaik), Zulfa Juniadi (Pemaju Terbaik), dan Cheryl Yeoh (Individu Pengaruh Media Sosial Terbaik).

Pemenang lain ialah Freda Lui (Wartawan Syarikat Permulaan Terbaik), iFlix(Kempen Terbaik) 500 Startups (Pelabur Profesional Terbaik), 100% Project (Syarikat Permulaan Teknologi Keusahawanan Sosial Terbaik) Grab (Disruptor/Gamechanger Terbaik), KFit (Pendatang Baharu Terbaik) dan Cradle (Enabler Terbaik).

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) Ashran Datuk Ghazi berkata Anugerah Rice Bowl itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan dan pemain industri yang mengubah landskap ekonomi ASEAN.

"Dengan mengiktiraf syarikat permulaan tempatan, ia memangkin kreativiti dan inovasi yang merupakan suatu yang penting bagi impak jangka panjang kepada negara," kata Ashran.

Anugerah ASEAN Rice Bowl Startup, yang diadakan kali pertama tahun lepas menerima 500 pencalonan dari seluruh Asia Tenggara, manakala tahun ini jumlahnya berganda kepada 1,000.

Anugerah tersebut disampaikan oleh MaGIC dan dianjurkan oleh MyNEF, organisasi bukan keuntungan yang menumpukan kepada mewujudkan dan membangunkan usahawan mampan menerusi program pembangunan strategik.