Pemimpin dan rakyat Sarawak menyambut baik penubuhan Petroleum Sarawak (Petros) seperti yang diumum oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada Ahad.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebagai negeri yang mempunyai banyak khazanah minyak dan gas adalah tepat sekali Kerajaan Negeri menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri.

"Ini adalah sebagai salah satu daripada agenda pelaburan supaya khazanah ini dapat memberi pulangan yang banyak kepada negeri ini.

Sementara itu, Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar), Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, inisiatif Kerajaan Negeri ini diharap dapat melonjakkan tahap ekonomi negeri Sarawak supaya dapat seiring setinggi negara lain di dunia.

Katanya, Sarawak sememangnya mampu untuk mengendalikan industri minyaknya sendiri kerana ia memiliki tenaga kerja anak-anak Sarawak yang berpengalaman dalam industri ini sejak sekian lama.

" Dengan pengalaman bekerja dengan Petronas, Shell dan syarikat-syarikat minyak yang lain maka tenaga anak-anak Sarawak mampu untuk memastikan Petros berkembang maju," tambahnya.

Sementara itu, pemimpin belia, Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata penubuhan Petros amat dinanti-nantikan rakyat Sarawak dan seluruh masyarakat belianya.

" Ia bukan sahaja memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negeri, malah mewujudkan peluang pekerjaan yang besar kepada golongan mudanya.

" Kami amat menerima baik, dan yakin, usaha ini dapat memacu ekonomi Sarawak dan mencapai agenda negeri maju menjelang tahun 2030,"katanya.

Abang Johari mula mencetuskan idea penubuhan syarikat itu pada Jun lalu ketika hadir pada Majlis Bersungkei Bersama Anak Sarawak di Kuala Lumpur.

Pada Ahad lalu, sewaktu berucap di Kuching pada Majlis Apresiasi Pejabat Ketua Menteri sempena sambutan ulang tahunnya ke-67, beliau mengumumkan penubuhan syarikat itu telah berlaku, manakala Pengerusi, Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya telah pun dilantik.

Walau bagaimanapun, beliau enggan menamakan individu yang dipilih sebaliknya memaklumkan bahawa mereka adalah kalangan profesional yang bebas daripada pengaruh politik.

Sarawak merupakan negeri pertama yang berbuat demikian, selepas Kerajaan Pusat menubuhkan Petroliam Nasional (Petronas) pada Ogos 1974.