Kerajaan mampu menjimat sebanyak RM3.1 bilion melalui penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dengan penamatan perjanjian PDP, implikasi kewangan keseluruhan untuk pelaksanaan projek telah dapat dikurangkan sebanyak 14 peratus daripada anggaran implikasi kewangan sebelum penamatan perjanjian PDP tersebut.

“Anggaran implikasi kewangan kepada kerajaan dengan penglibatan PDP sebelum ini ialah RM21.9 bilion manakala anggaran implikasi kewangan setelah tamatnya PDP ialah sebanyak RM18.8 bilion.

“Kerajaan tidak perlu membayar yuran PDP sebanyak 5.5 peratus daripada kos pembinaan serta kos-kos lain yang bersifat bayaran balik kepada syarikat PDP,” kata Guan Eng pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembiayaan projek yang baharu bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Pengarah DanaInfra Nasional Berhad, Datuk Dr Yacob Mustafa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kerajaan persekutuan, Zakiah Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Majlis tersebut menyaksikan Mutual Termination Letter (Surat Penamatan Bersama) yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan DanaInfra melibatkan penamatan Project Funding Agreement (Perjanjian Pembiayaan Projek) sedia ada dan juga Perjanjian Pembiayaan Projek yang baharu yang ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan DanaInfra.

Guan Eng berkata dalam mesyuarat 4 September lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya pelaksanaan 11 pakej kerja projek sepanjang 786.4km itu diteruskan kerajaan secara konvensional tanpa penglibatan PDP.

“Penjimatan RM3.1 bilion daripada projek ini selepas ia siap akan digunakan untuk projek-projek infrastruktur lain di Sarawak.

“Ia selaras dengan dasar baru Kementerian Kewangan untuk menggunakan penjimatan daripada sesuatu projek untuk projek infrastruktur lain yang memanfaatkan negara dan dalam kes ini, khususnya rakyat negeri Sarawak,” tambahnya.

Penamatan perjanjian PDP akan berkuat kuasa pada 20 Februari ini.

Mengulas mengenai penalti yang akan dibayar kepada PDP sebelum ini susulan penamatan perjanjian, Baru Bian berkata kementeriannya masih meneliti perkara tersebut dan belum mencapai kata putus.

“Pastinya ada tuntutan daripada syarikat tersebut. Apa-apa tuntutan yang sah, kami akan menunaikannya.

“Apa-apa yang di luar perjanjian, kami akan menelitinya dan lihat bagaimana kami dapat menguruskannya,” katanya lagi.