Pengalaman Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam pengurusan krisis dalam industri minyak dan gas akan memberi kelebihan kepada beliau untuk memulihkan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Wan Zulkiflee akan bersara daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 30 Jun selepas berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas nasional itu selama 37 tahun untuk mengambil alih jawatan pengerusi MAB, berkuat kuasa 1 Julai.

Perunding Utama Penerbangan Jaafar Zamhari berkata walaupun Wan Zulkiflee dari latar belakang yang berbeza, beliau akan dapat memacu MAB ke peringkat lebih tinggi walaupun industri penerbangan suram dalam persekitaran ekonomi yang mencabar berikutan COVID-19, yang telah menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan global.

"Terdapat misi dua fasa untuk beliau. Pertama, menguruskan krisis yang akan memakan masa dua tahun -- cara (sama) yang beliau lakukan dalam landskap minyak dan gas.

"Kedua, mempelajari (mengenai) industri penerbangan dan syarikat penerbangan, (yang) akan menjadi mudah baginya. Dalam proses pembelajaran, beliau akan dapat menerajui MAB dalam hala tuju yang betul. Beliau juga mempunyai pengetahuan mengenai industri penerbangan, daripada Petronas, pembekal bahan api penerbangan utama kita," katanya kepada Bernama.

Wan Zulkiflee akan digantikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Jaafar berkata kerajaan perlu membenarkan Wan Zulkiflee menerajui MAB hanya atas pertimbangan komersial dan perniagaan.

"Wan Zulkiflee, seorang pemimpin yang mempunyai wawasan. Perubahan (dalam landskap) daripada minyak dan gas kepada penerbangan bukan menjadi masalah (kepada beliau).

"Beliau boleh melakukan banyak perkara untuk mentransformasikan MAB. Beri beliau kebebasan untuk menerajui syarikat penerbangan itu (dan) saya jamin MAB akan berjaya," katanya.

MAB adalah anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group.

Wan Zulkiflee telah membantu Petronas melalui tempoh yang mencabar, bermula dengan harga komoditi yang rendah pada 2014 dan menerajui syarikat itu menghadapi tempoh tersebut dengan mengurangkan perbelanjaan modal dan pekerjaan selain mengagihkan keuntungan untuk membayar dividen kepada kerajaan.

Pada Februari, katanya Petronas akan membayar dividen sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan pada tahun ini tetapi tiada rancangan untuk pembayaran dividen khas kepada kerajaan pada 2020. Pada tahun lepas, syarikat gergasi minyak itu membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion, sebagai tambahan kepada dividen biasa sebanyak RM24 bilion.

Wan Zulkiflee turut menerajui Petronas untuk bekerjasama dengan syarikat minyak nasional Arab Saudi, Saudi Aramco untuk membangunkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Dua minggu lepas, Petronas mengumumkan bahawa syarikat itu akan mengurangkan perbelanjaan modalnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 sebanyak 21 peratus daripada anggaran awal kira-kira RM50 bilion untuk menangani cabaran berikutan COVID-19 yang telah membawa kejutan kepada penawaran-permintaan dalam pasaran minyak pada tahun ini.

-- BERNAMA