Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengesahkan syarikat itu tidak mampu membayar hutangnya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir, telah memaklumkan secara bertulis kepada Kementerian Kewangan pada Mac dengan mengatakan 1MDB tidak dapat membayar faedah yang bertarikh akhir April dan Mei 2018.

Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan kementerian melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) bagi melaksanakan audit khas dan penilaian semula 1MDB.

"Selepas itu kami akan dapat menentukan kos penipuan kepada pembayar cukai. Kami akan menyerahkan laporan PwC kepada Jawatankuasa 1MDB yang ditubuhkan oleh perdana menteri sebaik sahaja ia siap," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Lim mengadakan dua mesyuarat berasingan dengan Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayob dan Datuk Kamal Mohd Ali, serta Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang diiringi Azmi dan bekas peguam 1MDB, Ivan Chen.

Semalam, Lim memaklumkan 1MDB perlu membayar RM143.75 juta kepada pemberi pinjamannya sebelum 30 Mei.

Guan Eng berkata Arul Kanda menekankan bahawa beliau sedang 'bercuti' sehingga tamat kontrak pada Jun 2018, dan mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai keadaan kewangan syarikat itu.

"Alasan kami memanggil 1MDB kerana kami perlu menandatangani kebenaran untuk membayar hutang bagi pihak 1MDB pada akhir bulan ini.

"Saya terkejut dokumen pertama yang saya (diminta untuk) tandatangani adalah membayar hutang 1MDB dan saya enggan menandatanganinya sebelum saya melihat semua dokumen yang berkaitan," katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan Arul Kanda untuk menulis surat kepada kerajaan bahawa 1MDB tidak dapat membayar hutangnya, dan hanya selepas itu kerajaan akan membayar bagi pihak syarikat.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan telah mengeluarkan RM7 bilion untuk membayar hutang 1MDB dan perlu membayar sejumlah RM954 juta pada akhir tahun ini.

Guan Eng berkata beliau terkejut apabila mengetahui Arul Kanda adalah satu-satunya pekerja 1MDB sejak awal tahun ini.

"Saya telah mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk mengambil alih (pejabat 1MDB) sebagai pemegang saham. Kami berharap dokumen itu masih ada," katanya.

Guan Eng juga berkata beliau telah menanyakan kepada lembaga pengarah 1MDB berhubung 'unit' pelaburan bernilai US$940 juta sebelum ini dipegang BSI Bank, Singapura selain dana pelaburan di luar negara bernilai US$1.56 bilion milik 1MDB Global Investments Limited.

Beliau berkata, pelaburan terbabit bernilai kira-kira RM9.8 bilion, yang jika ditebus, akan menjadi lebih daripada mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangan 1MDB untuk beberapa tahun akan datang.

Bagaimanapun, katanya, lembaga pengarah, yang akan menyediakan minit mesyuarat lembaga 1MDB kepada kementerian, mendakwa mereka telah berulang kali mempertikai nilai tersebut dan juga kewujudan pelaburan berkenaan semasa mesyuarat bulanan lembaga pengarah.

"Ini kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal memberikan apa-apa bukti mengenai kewujudan pelaburan tersebut dalam tempoh dua tahun yang lalu kepada lembaga pengarah," katanya.

Lim juga berkata Kamal telah menganggap pelaburan 1MDB ini sebagai 'satu penipuan'.

Dalam sidang media berasingan, Lim berkata, Azmi telah memberitahu bahawa 'pelaburan' itu masih wujud walaupun BSI Bank telah ditutup.

"Dia memberikan alasan yang tidak boleh dipercayai bahawa pengurus dana enggan berkomunikasi dengan 1MDB secara bertulis kerana siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat," katanya.

Guan Eng berkata, Arul Kanda pula sebaliknya mendakwa bahawa semua urusan kewangan telah ditangani dengan tegas oleh Azmi, dan beliau (Arul) benar-benar tidak pasti mengenai nilai 'pelaburan' itu, atau sama ada ia wujud.

Menurut Guan Eng, beliau mendapati Arul Kanda amat tidak jujur dan tidak boleh dipercayai selain mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula jawatan Arul Kanda sebagai Presiden 1MDB.

-- BERNAMA