Pengasas Rayani Air Datuk G.Karthiyani hari ini memberi keterangan berkaitan syarikat penerbangan itu kepada sesi inkuiri di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini.

Ketika ditemui selepas keluar daripada sesi berkenaan, Karthiyani memberitahu pemberita beliau perlu segera ke hospital oleh kerana suaminya, Ravi Alagendrran yang juga pengasas syarikat penerbangan itu, dimasukkan ke hospital setelah pengsan.

Katanya beliau memberi maklumat terperinci berkaitan operasi dalaman syarikat penerbangan itu kepada sesi inkuiri berkenaan.

Karthiyani berkata satu lagi pertemuan akan diadakan berhubung Rayani Air pada minggu depan.

"Ia akan memberi keputusan yang baik," katanya ketika ditanya tentang jangkaan beliau berkaitan pertemuan seterusnya itu.

DCA menggantung sementara operasi syarikat penerbangan patuh Syariah Rayani Air selama tiga bulan bermula 11 April.

Susulan notis penggantungan yang dihantar kepada syarikat penerbangan itu juga pada 11 April, DCA akan melaksanakan pentadbiran dan audit keselamatan menyeluruh operasi Rayani Air untuk menilai pematuhannya kepada Sijil Pengendali Udara (AOC).

Menurut Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman, ini kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung mengikut Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996.

Azharuddin berkata berikutan penggantungan sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang kini mentadbir Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), akan melaksanakan penilaian terhadap kedudukan komersial dan keupayaan Rayani Air bagi menentukan kelayakannya untuk terus menjadi pemegang ASL.