Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mendapati peniaga-peniaga di negeri ini menjual barangan terkawal di bawah harga yang ditetapkan sempena musim perayaan Deepavali.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata tinjauan yang dijalankan di Pasar Taman Tun Sardon, Gelugor di sini mendapati ada peniaga menjual barangan mengikut harga kawalan maksimum dan ada yang di bawah harga kawalan.

"Kita galakkan peniaga untuk menjual barangan di bawah harga kawalan maksimum yang kita tetapkan. Kalau mereka boleh letakkan harga yang lebih rendah daripada harga kawalan yang itu kita alu-alukan.

"KPDNHEP berharap semua peniaga mematuhi skim kawalan harga yang kita tetapkan. Kesalahan tidak meletakkan harga dan tidak menjual pada harga skim kawalan itu sudah tentunya kita ada denda," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'walkabout' Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali peringkat negeri di Pasar Taman Tun Sardon, di sini hari ini.

Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah skim itu bersempena sambutan Deepavali yang bermula hari ini hingga 9 Nov seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan dan import bertulang, daging biri-biri import bertulang, telur ayam, tomato, kelapa biji dan parut, bawang besar, ubi kentang dan kacang dal.

Abdul Halim berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung peniaga yang tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh KPDNHEP.

"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui talian 03-80008000 My Government Call Centre, e-mel ke alamat [email protected] atau SMS ke 15888 dengan menaip 'KPDNHEP ADUAN ," katanya.

Beliau berkata KPDNHEP turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan selain memperkukuhkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.

"Walaupun tiada lawatan atau pemeriksaan rasmi dibuat, kita ada pegawai terpilih untuk membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Ini kerana kita bimbang peniaga hanya mematuhi peraturan ketika waktu pemeriksaan sahaja dan di waktu lain mereka mengubah semula harga," katanya.