Peningkatan eksport negara banyak membantu pertumbuhan Malaysia selain memacu keyakinan dunia terhadap ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi catatan terbaharunya di laman rasmi Twitter @NajibRazak pada Rabu malam, Perdana Menteri berkata Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di Asia Timur yang diberi semakan lebih tinggi oleh Bank Dunia bagi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2017 kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus, sebelum ini.

"Unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 dan 2019 juga disemak semula kepada yang lebih tinggi iaitu pada 4.9 peratus dan 5.0 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus," kata Najib.

Kenyataan Perdana Menteri itu sebagai mengulas laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia pada Isnin lalu yang diterbitkan setiap dua kali setahun.

- BERNAMA