Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak menjejaskan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) kerana pelabur melihat kepada kestabilan dalam negara yang kukuh.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keyakinan pelabur.

“Pelabur ambil kira perkara-perkara lain tentang kestabilan politik, perdagangan, asas ekonomi serta tindakan yang diambil kerajaan sendiri untuk memastikan konsilasi fiskal berjalan dengan baik.

“Kita harap ia akan terus berikan perubahan positif untuk mereka kembali ke pasaran kita, banyak laporan yang dibuat pelabur yang dahulunya keluar kini dah kembali.

“Tindakan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ini adalah bagi memastikan bahawa pasaran kita akan kondusif membawa masuk pelaburan asing dan laburkan dalam pasaran modal dan sebagainya jadi ia dapat berikan kebaikan,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari Kastam, di Kelana Jaya, pada Khamis.

Pada Rabu, Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara telah menetapkan kadar dasar semalaman (OPR) turun dari 3 peratus kepada 2.75 peratus.

Bank Negara dalam satu kenyataan berkata, pengurangan berkenaan merupakan langkah awal bagi memperolehi trajektori pertumbuhan yang lebih baik, serta kestabilan harga.

Sementara itu, Amiruddin berkata terdapat 160 syarikat asing telah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membayar cukai perkhidmatan digital yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

“Namun katanya masih terdapat syarikat asing yang belum berdaftar namun yakin lebih ramai lagi akan berbuat demikian,” jelasnya.