Berita  | Bisnes

Perang dagangan AS-China boleh berlarutan sehingga 20 tahun - Jack Ma

Perang dagangan AS-China boleh berlarutan sehingga 20 tahun - Jack Ma
MA: Syarikat-syarikat China akan memindahkan perniagaan dan pengeluaran mereka ke negara lain bagi mengelak dikenakan tarif yang dilaksanakan AS. - BERNAMA/Fail
SHANGHAI: Perang perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia boleh berlarutan selama lebih dua dekad jika tiada peraturan perdagangan baharu dikemukakan.

Pengerusi Alibaba, Jack Ma berkata perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China ini akan menyebabkan kesukaran kepada pelbagai pihak  termasuk syarikat-syarikat di dua negara ini mahupun negara lain.

"Peraturan perdagangan yang ada kini adalah lemah.

"Syarikat-syarikat China akan memindahkan perniagaan dan pengeluaran mereka ke negara lain bagi mengelak dikenakan tarif yang dilaksanakan AS."
Ma berkata demikian pada satu persidangan pelabur Alibaba, beberapa jam selepas Washington mengumumkan akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas produk China bernilai AS$200 bilion.

Dalam pengumuman yang dibuat pentadbiran Trump pada lewat Isnin, Washington berkata cukai tersebut akan naik sehingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Beijing telah pun memberi amaran mereka akan bertindak balas.

"Anda mungkin menang dalam pertempuran, tetapi kalah dalam peperangan," kata Ma pada persidangan di Hangzhou itu.

Beliau berkata, peraturan perdagangan baharu diperlukan untuk jangka masa panjang.

"Kalau Donald Trump bersara sekali pun, akan ada presiden baharu dan situasi ini akan berterusan. Kita perlukan peraturan baharu, kita perlu mengukuhkan WTO," katanya, merujuk kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia.

Ma berkata, ucapannya hari ini kepada pelabur Alibaba juga merupakan yang terakhir sebagai pengerusi syarikat gergasi internet itu.

Minggu lalu, beliau mengumumkan akan mengundur diri dalam masa setahun dan menyerahkan syarikat itu kepada Ketua Eksekutifnya, Daniel Zhang.

Dalam satu perjumpaan berprofil tinggi dengan Trump tahun lepas, Ma berjanji untuk mewujudkan satu juta pekerjaan bagi AS, mengaitkan peniaga kecil yang menjual produk mereka di platform Alibaba.

Sejak itu, hubungan perdagangan dua ekonomi terbesar ini merosot dengan masing-masing saling menaikkan cukai import mereka.