Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan sehingga kini tidak menjejaskan hubungan dagangan Malaysia dengan China yang merupakan kuasa besar ekonomi di Asia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua negara besar dunia itu dan sejak dahulu negara berpendirian untuk berkecuali daripada kemelut tersebut.

"Kita tidak bergaduh dengan sesiapa dan kita berkawan baik dengan China mahupun AS...walaupun kedua-dua negara berhadapan perang dagangan, kita tetap mahu meningkatkan perdagangan dengan China.

"... daripada segi perdagangan, China juga merupakan rakan perdagangan nombor satu Malaysia... malah dalam beberapa perkara China memberi kerjasama yang amat baik kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China di TMG Mall Bandar Indera Mahkota, di sini, pada Ahad.

Sebagai contoh, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata China telah bersetuju untuk mengadakan rundingan semula berhubung kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga mencapai persetujuan yang baik kepada Malaysia.

Selain itu, China juga memenuhi permintaan Malaysia untuk membeli minyak kelapa sawit dengan lebih banyak apabila negara Eropah melancarkan kempen memboikot produk tersebut, katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata Wisma Putra sentiasa memantau perkembangan rusuhan di Hong Kong dan meminta rakyat Malaysia yang bekerja atau melancong ke sana supaya berhati-hati.

"Kita sudah mengenal pasti kawasan yang berlaku rusuhan dan rakyat diminta agar mengelakkan diri ke sana," katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada dan ingin ke Jepun, untuk mengikuti nasihat perjalanan yang dikeluarkan berkaitan taufan Hagibis yang melanda Tokyo, awal hari ini.

Mengikut laporan media, seramai 10 orang maut manakala 16 lagi dilaporkan masih hilang selepas bandar raya itu dibadai taufan paling kuat dalam tempoh beberapa dekad serta melumpuhkan sebahagian besar bandar raya berkenaan.

-- BERNAMA