announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

Perodua catat jualan 7,886 kereta pada Mei walaupun berdepan krisis COVID-19

Perodua catat jualan 7,886 kereta pada Mei walaupun berdepan krisis COVID-19
Pada Mei, Perodua menjual 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perodua mencatat jualan sebanyak 7,886 kereta pada Mei 2020 walaupun menghadapi krisis COVID-19, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit.

Berdasarkan jumlah tersebut, pengeluar kereta itu telah menguasai 41 peratus bahagian pasaran daripada anggaran jumlah jualan industri setakat tahun ini sebanyak 129,401 unit.

Pada bulan itu, Perodua menjual 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza.

"Situasi COVID-19 yang masih berlaku telah memberi kesan yang ketara kepada jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan. Namun, kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac kami sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perodua menjual 8,601 kereta pada Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

"Dalam era penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting.

"Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah. Pemandu e-hailing juga telah bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang selain membawa penumpang.

"Kenderaan Perodua amat sesuai untuk tujuan tersebut, kerana kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu," kata Zainal Abidin.

Oleh itu, katanya, Perodua yakin pihaknya akan dapat memenuhi permintaan dan pesanan baharu tepat pada masanya.

Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, manakala pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

-- BERNAMA


Tag: kenderaan, covid-19, jualan kereta, perodua, pengguna malaysia, rakyat malaysia, pkp



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.