Tutup

Berita  | Bisnes

Pertembungan dua raksasa, China-AS mula perang dagangan

Pertembungan dua raksasa, China-AS mula perang dagangan
Ia siri serangan terbaharu selepas kedua negara melaksanakan tarif ke atas barangan bernilai AS$50 bilion awal tahun ini. - Foto Fail
BEIJING: China dan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi memulakan ‘perang perdagangan’ dengan melaksanakan tarif baharu ke atas barangan kedua-dua negara yang diimport.

Tarif oleh AS dikenakan terhadap barangan dari China bernilai AS$200 bilion sementara China mengenakan tarif ke atas barangan dari AS bernilai AS$60 bilion.

Ia siri serangan terbaharu selepas kedua negara melaksanakan tarif ke atas barangan bernilai AS$50 bilion awal tahun ini.

Antara produk dari China yang dikenakan tarif termasuk barangan elektronik dan berkait internet, manakala barangan AS yang dikenakan tarif termasuk gas asli cecair dan cenderamata.
Penganalisis terus memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan membantutkan pertumbuhan dunia sekaligus menjejaskan banyak ekonomi lain.

Pada Ahad, China memanggil Duta Besar AS ke China susulan tindakan AS masuk campur urusan pembelian senjata China dari Rusia.
China nyata berang dengan tindakan AS yang menyekat agensi pertahanan China dari membeli peluru berpandu serta jet pejuang dari Rusia sambil menyifatkan negara itu tidak berhak masuk campur urusan China.

Susulan tindakan AS, China turut menghentikan rancangan latihan ketenteraan bersama selain memanggil pulang ketua tentera laut China yang kini berada di AS untuk rangka lawatan.