Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC) mengambil keputusan menghentikan sementara waktu pembinaan stesen hidro elektrik mini di sini.

Ketua Pengawai Operasi PHREC, Syed Amir Nidzamuddin Syed Abu Hussin berkata keputusan itu dicapai bagi memastikan wujudnya situasi menang-menang antara penduduk Orang Asli, pemaju serta Kerajaan Negeri Perak.

Malah, pihaknya juga akan menjalankan kajian semula impak pembinaan projek tersebut bagi memastikan segala isu-isu yang dibangkitkan Orang Asli dapat diselesaikan segera.

"Kami di pihak PHREC mendengar rintihan serta isu-isu yang dibangkitkan Orang Asli di kawasan-kawasan projek. Buat masa ini, pembinaan hidro elektrik mini di Ulu Slim akan dihentikan buat sementara waktu.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk melakukan kajian semula dan kita lihat apa isu-isu yang dibangkitkan Orang Asli dan kita selesaikan semuanya sekaligus projek ini dapat diteruskan bagi manfaat syarikat, kerajaan negeri dan masyarakat setempat," ujarnya ketika ditemui media di Pos Bersih di sini semalam.

Tambahnya, projek bernilai RM60 juta yang dibina itu dijangka siap penghujung tahun ini.

Pada 21 Februari lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan satu kajian teliti diadakan terhadap projek pembinaan hidro elektrik mini tersebut yang telah menerima tentangan segelintir masyarakat Orang Asli.

Katanya, hasil kajian itu nanti akan diperhalusi secara komprehensif oleh kerajaan negeri sebelum apa-apa keputusan dibuat.